KALAULAH dibuat soal selidik dan tinjauan ramai, pasti ada yang masih beranggapan bahawa masyarakat Orang Asli di negara ini masih mengamalkan gaya hidup primitif.
Kalau tidak pun, ramai yang tidak mengetahui perihal masyarakat ini terutama daripada segi adat dan budaya.
Mungkin disebabkan sikap kurang mengambil tahu maka kefahaman terhadap gaya hidup Orang Asli di negara ini masih lagi cetek.
Melihat kepada keadaan itu, jurugambar wanita Orang Asli, Norasimah a/p Sidek, 31, memulakan langkah menerusi penghasilan buku untuk menceritakan identiti suku kaumnya kepada masyarakat umum.
Buku yang dihasilkan dengan kerjasama rakannya, Jeffrey Lim ini menghimpunkan pelbagai gambar berkaitan masyarakat Orang Asli terutama suku Jakun dan mempunyai maksud tersendiri hasil terjemahan daripada bahasa Jakun.
“Tempok merupakan tradisi dan simbolik yang dipakai di kepala dengan anyaman daun mengkuang.
“Pelendong pula ertinya ‘semangat’ dan Ang membawa maksud ‘saya’. Jadi, buku ini bermaksud ‘Tempok semangat saya’,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Menurut anak jati Kampung Mikang, Bukit Ibam, Pahang ini, penghasilan buku keluaran pertamanya itu mengambil masa tiga tahun dan mempunyai signifikan tersendiri selepas bergelumang dalam dunia fotografi selama hampir 10 tahun.
“Buku ini berbentuk foto esei. Saya hasilkan dalam bentuk sedemikian kerana pada saya, gambar mempunyai pelbagai cerita dan saya mahu hasil kerja saya berkisar tentang masyarakat Orang Asli terutama suku Jakun.
“Ia penting demi memulihara hasil warisan dan kebudayaan masyarakat Orang Asli terutama daripada suku Jakun,” jelas graduan jurusan Seni Halus dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).
Pentingnya pendedahan, maklumat kepada umum.
Shima berkata, berdasarkan pemerhatiannya, rakyat Malaysia masih kurang faham tentang kehidupan masyarakat Orang Asli.
Dia yang dibesarkan dalam sebuah kampung kecil dan mempunyai lima adik beradik berkata, aspek kesenian antara perkara yang perlu diberi penekanan dan disebarkan secara meluas terutama kepada generasi muda.
“Perkara yang paling penting masyarakat perlu tahu berkenaan masyarakat Orang Asli suku Jakun adalah tradisi, adat, budaya dan hasil seni,” terangnya.
Buku yang dihasilkan menerusi teknik anyaman sama sebagaimana Tempok ini, kata Shima diharapkan dapat memberi manfaat dan pengetahuan kepada masyarakat umum.
“Seperti yang kita ketahui hanya golongan tua sahaja masih mengamalkannya (anyaman Tempok) dan golongan muda kurang mahir, mungkin ada tetapi hanya segelintir sahaja.
“Sebab itu, saya memperkenalkan hasil seni anyaman Tempok daripada daun mengkuang di buku ini agar lebih dekat dengan jiwa pembaca,” katanya.
Buku ini dihasilkan dalam empat bahasa iaitu bahasa Jakun, Melayu, Inggeris dan Cina tradisional.
Tambahnya, kos untuk menghasilkan buku ini adalah RM12,000 sehingga RM15,000 dengan menerima geran MyCreatives Ventures untuk penggiat seni serta usahawan kreatif.
Ditanya tentang cabaran dalam penghasilan buku ini, Shima memberitahu, ia mengambil masa lama untuk disiapkan kerana melalui beberapa kali proses lakaran dan reka bentuk selain cetakan buku.
Dia yang gembira dengan penghasilan bukunya berharap agar lebih ramai masyarakat Orang Asli lebih maju dalam aspek sosio ekonomi.-UTUSAN