PETALING JAYA: Semua anggota baharu Kabinet mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, di sini hari ini.
Istiadat dimulakan dengan angkat sumpah lima Menteri baharu di hadapan Seri Paduka.
Pada istiadat itu, barisan menteri dibahagikan kepada dua kumpulan dengan kumpulan pertama diketuai Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang kembali menerajui Kementerian Kesihatan diikuti Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo (Menteri Digital) dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Sim Chee Keong (Menteri Sumber Manusia).
Kumpulan kedua pula terdiri daripada Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (Menteri Perladangan dan Komoditi) dan Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (Menteri Kewangan II).
Mereka mengangkat sumpah di hadapan Al-Sultan Abdullah dalam Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia
Turut berangkat pada itu ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Kemua mereka melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia, sebelum menandatangani dokumen rasmi pelantikan dengan disaksikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Istiadat diteruskan dengan kumpulan pertama Timbalan Menteri terdiri daripada Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) serta Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk R. Ramanan (Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi).
Kumpulan kedua pula terdiri daripada Dr Zulkifli Hasan yang dilantik Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh (Timbalan Menteri Pendidikan).
Menteri dan Timbalan Menteri baharu itu mengangkat sumpah jawatan hari ini susulan pengumuman rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya. – UTUSAN