LANGKAWI: Tun Dr. Mahathir Mohamad meminta pihak berwajib untuk menyiasat semua pihak yang tidak menjelaskan sumber pendapatannya.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, rakyat mempunyai hak untuk menilai tindakan kerajaan dalam menyiasat salah laku mana-mana individu.
“Yang itu terpulang kepada rakyat menilai tindakan yang dibuat kerajaan. Tapi yang saya sebut di situ (laman sosial), Daim pun kena, tapi Zahid tak kena. Tapi Syed Saddiq kena. Tak tahu siapa dia.
“Kenapa mereka ini dipilih, orang yang ada duit banyak ini ada banyak, patut selidik lah semua orang yang ada duit. Saya dah kata saya ada duit banyak, saya suruh dia tunjuk bukti sampai la (sekarang) tak tunjuk,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Bicara Santai Bersama Tun Dr. Mahathir di sini, semalam.
Kelmarin, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu menulis satu hantaran di media sosialnya yang menggesa kerajaan menahan reman semua yang bergelar Tun termasuk dirinya jika individu tersebut gagal menjelaskan sumber pendapatannya.
Kenyataan itu dipercayai mengulas tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) yang melancarkan siasatan terhadap bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin di atas dakwaan pengubahan wang haram dam rasuah.
Beliau menyatakan, Peguam Negara (AG) juga berhak untuk tidak meneruskan pendakwaan sekiranya tuduhan tersebut berunsur politik.
“Ini adalah hak AG. Mahkamah tidak boleh mempersoalkan keputusan AG.
“Malaysia benar-benar mematuhi kedaulatan undang-undang. Malah, pesalah pertama mesti menerima kuasa penuh kedaulatan undang-undang.
“Jika hukuman sebat adalah wajib, maka pesalah hendak lah disebat. Di Malaysia, undang-undang adalah tertinggi. Kita semua mesti mematuhinya,” katanya. – UTUSAN