KLANG: Selangor mencatatkan hasil negeri melepasi sasaran pada tahap 128 peratus atau RM2.57 bilion sehingga 6 Disember lalu berbanding matlamat kutipan hasil bagi 2023 iaitu RM2 bilion.
Pencapaian tersebut disifatkan sebagai manifestasi kesungguhan barisan penjawat awam dan anggota pentadbiran kerajaan negeri bagi memacu ekonomi negeri dan meningkatkan hasil demi manfaat rakyat.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dalam sembah ucapan taat setianya di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkata, pencapaian tersebut menggambarkan keyakinan komuniti pelaburan serta rakyat terhadap kebertanggungjawaban kerajaan negeri dalam merencana dan mengagihkan kekayaan secara efektif serta bersasar.
“Patik dengan sukacita ingin menyembah maklum bahawa pembangunan ekonomi negeri Selangor di bawah kerajaan tuanku terus meningkat.
“Pada tahun lalu, sumbangan negeri Selangor Darul Ehsan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia terus meningkat kepada 25.5 peratus sekaligus meningkatkan peranan Selangor sebagai negeri yang menyumbang lebih satu perempat kepada kepada KDNK negara,” katanya pada Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor Sempena Hari Keputeraan Baginda ke-78, di Istana Alam Shah hari ini.
Dalam Istiadat tersebut, Sultan Sharafuddin berkenan mengurniakan darjah, bintang kebesaran serta pingat negeri kepada 97 orang termasuk Raja Permaisuri Agung, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan perolehan Selangor dilaporkan melepasi sasaran RM2 bilion pada 18 Ogos lalu iaitu lebih awal berbanding sasaran seperti ditetapkan dalam Belanjawan 2023 dan diunjurkan mencapai sehingga RM2.4 bilion pada hujung tahun ini.
Amirudin ketika itu memaklumkan, unjuran lebihan sehingga akhir tahun ini dijangka berdasarkan perkembangan semasa kemasukan pelaburan dan potensi sedia ada.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua memberitahu, kerajaan negeri merancang untuk memastikan peningkatan hasil dan pembangunan Selangor.
Menurutnya, antara perancangannya adalah mewujudkan pentadbiran Lembah Klang Raya merangkumi empat bandar raya iaitu Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan Klang serta pelaksanaan Pembangunan Serantau Bersepadu Selatan Selangor (IDRISS).
“Lembah Klang Raya bermatlamat untuk menyatu, menyelaras dan menyeragamkan pentadbiran 4 buah bandar berkenaan bagi memudahcara proses perniagaan dan pembangunan, mengurangkan karenah birokrasi serta memudahkan kehidupan rakyat.
“Lembah Klang Raya bertujuan membolehkan kerajaan negeri memulakan proses rejuvenasi bandar matang bagi menarik pelaburan dalam industri baharu yang berteraskan digitalisasi agar berdaya tahan terutamanya dalam menghadapi cabaran perubahan iklim, bandar yang mampan, serta berdaya huni,” jelasnya.
Katanya lagi, IDRISS pula dibangunkan dalam kawasan seluas 16,187.43 hektar untuk kerajaan negeri merancang dan memudahcara pembangunan kawasan baharu itu. – UTUSAN