Sekolah vernakular: NGO fail rayuan ke Mahkamah Persekutuan

Sekolah vernakular: NGO fail rayuan ke Mahkamah Persekutuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memfailkan permohonan untuk merayu berhubung penghakiman Mahkamah Rayuan yang memutuskan penubuhan sekolah vernakular dan penggunaan bahasa Mandarin serta Tamil sebagai bahasa pengantar adalah berperlembagaan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (Gapena) dan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim), permohonan tersebut difailkan pada 19 Disember lalu melalui firma guaman, Tetuan Amelda Fuad Abi & Aidil.

Berdasarkan permohonan kebenaran itu, Menteri Pendidikan dan Kerajaan Malaysia dinamakan sebagai responden pertama dan kedua manakala 10 responden lain terdiri daripada NGO termasuk kumpulan pendidik Cina Dong Zong dan Jiao Zong serta MIC dan MCA.

Peguam, Hanif Khatri Abdulla yang mewakili kedua-dua NGO itu mengesahkan perkara tersebut ketika dihubungi media.

Pada 23 November lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan memutuskan sekolah vernakular di negara ini boleh terus beroperasi manakala penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar di sekolah berkenaan, sah di sisi undang-undang.

Dalam penghakiman kes itu, mahkamah berpuas hati sekolah vernakular bukan pihak berkuasa awam dan penggunaan bahasa pengantar yang lain daripada bahasa Melayu, tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, bahasa Mandarin dan Tamil sebagai pengantara tidak seharusnya dihalang kerana penggunaannya dianggap bukan untuk urusan rasmi seperti yang dinyatakan di bawah Perkara 152(6) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut kenyataan media firma tersebut, Mappim dan Gapena memfailkan notis permohonan itu berdasarkan isu pokok perlembagaan dan perundangan berhubung kedudukan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil di seluruh Malaysia melalui Perkara  152 (1) Perlembagaan Persekutuan (berhubung bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan).

Jelas firma terbabit, pemfailan notis usul itu perlu dilihat dari sudut isu keperlembagaan dan perundangan dan tidak disensasikan sebagai isu perkauman.

Pada prosiding di Mahkamah Rayuan, penghakiman dibuat ekoran rayuan yang difailkan oleh Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (i-Guru).

i-Guru merayu keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Mohd. Abazafree Mohd. Abbas pada 29 Mei 2022 yang menolak samannya.

NGO itu merayu agar Seksyen 17 dan 28 Akta Pendidikan 1996 yang membenarkan penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar di sekolah Cina dan Tamil, diisytihar tidak konsisten dengan Perlembagaan.

Mappim dan Gapena pula merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 29 Disember 2021 yang menolak saman berhubung keabsahan sekolah vernakular dan penggunaan bahasa Cina dan Tamil di sekolah tersebut.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya