Sekolah komuniti Iskul Sama Dilaut perlu perbincangan rentas kementerian, agensi 

Sekolah komuniti Iskul Sama Dilaut perlu perbincangan rentas kementerian, agensi 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengoperasian sekolah komuniti Bajau Laut di Semporna, Sabah dinamakan Iskul Sama Dilaut Omadal memerlukan perbincangan lanjut dengan kementerian dan agensi-agensi kerajaan yang terlibat. 

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya mengambil kira pandangan kementerian dan agensi kerajaan sebelum menentukan tindakan lanjut sama ada membenarkan atau sebaliknya pengoperasian pusat bimbingan itu. 

Ini memandangkan penubuhannya mendapat tentangan beberapa penduduk tempatan di pulau tersebut. 

Sehubungan itu, katanya KPM memerlukan perbincangan merentasi kementerian dan agensi termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Pasukan Kawasan Ke­selamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM). 

Katanya, Persatuan Pendidikan Bajau telah mengemukakan permohonan penubuhan institusi pendidikan swasta dalam kategori pusat bimbingan alternatif (PBA) kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah pada 30 Oktober lalu. 

“KPM mengambil perhatian berkenaan polemik yang membabitkan pengoperasian Iskul Sama Dilaut Omadal seperti yang dilaporkan media. 

“Bagaimanapun, KPM sentiasa beriltizam untuk meningkatkan mutu, kesaksamaan ekuiti dan akses pendidikan bagi semua murid,” katanya.

KPM memaklumkan, Malaysia bukan negara pihak kepada Perjanjian Status Pelarian 1951 atau Protokol Pelarian 1967 di bawah Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). 

Jelasnya, penyediaan BPA adalah satu inisiatif kemanusiaan oleh kerajaan pendidikan kepada kanak-kanak pelarian bagi menyediakan kanak-kanak tersebut untuk penghantaran ke negara ketiga.

“Penubuhan BPA tertakluk kepada ketetapan kerajaan mengambil kira aspek pematuhan undang-undang dan peraturan berkaitan pelarian iaitu arahan Majlis Keselamatan Negara No. 23 – Dasar dan Mekanisme Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka (Semakan 2023) serta keselamatan negara,” katanya. 

Kelmarin, Facebook Iskul Sama DiLaut Omadal berkongsi kenyataan 67 pertubuhan sivil dan 20 individu berkepentingan mendesak kerajaan bagi menyokong dan melindungi ruang pendidikan selamat bagi kanak-kanak tanpa kewarganegaraan di Pulau Omadal. 

Ini berikutan kira-kira 38 orang wakil penduduk tempatan di pulau tersebut yang membantah pengoperasian sekolah komuniti itu. 

Pertubuhan-pertubuhan berkenaan mendesak kerajaan memastikan pusat bimbingan itu dapat beroperasi tanpa diugut serta menjamin keselamatan guru-gurunya dan menekankan kepentingan dialog dan persefahaman tanpa intimidasi dan ancaman.  

Terdahulu hari ini, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menggesa kerajaan mengambil langkah proaktif bagi memastikan anak-anak Malaysia tanpa kewarganegaraan mendapat akses kepada pendidikan.

Ia termasuk dengan mengeluarkan dasar yang memudahkan akses ke sekolah kerajaan, memberi latihan dan sumber kepada guru-guru serta melaksanakan program yang mempromosi kesedaran dan inklusiviti.

Muda juga menyokong inisiatif pendidikan bagi anak-anak Malaysia tanpa kewarganegaraan, khususnya dalam konteks penubuhan Iskul Sama Dilaut Omadal. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya