Sekatan ke atas kapal Israel tak jejas hubungan Malaysia, negara luar

Sekatan ke atas kapal Israel tak jejas hubungan Malaysia, negara luar

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sekatan kerajaan ke atas syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM tidak menjejaskan hubungan Malaysia dengan negara luar yang lain, kata Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menurut beliau, pendirian berkenaan bukan bermaksud Malaysia tidak menghargai hubungan dengan negara lain.

“Kita tidak melihat kepada terjejasnya hubungan kita dengan negara-negara lain, topik kita ialah tidak membenarkan kapal yang menggunakan bendera Israel berlabuh di Malaysia serta yang membawa barang ke Israel.

“Pendirian kita (adalah) tetap, kita tidak mengatakan tidak menghargai hubungan dengan negara lain, tetapi ketetapan pendirian Malaysia adalah berdasarkan keadaan di Gaza dan Timur Tengah ketika ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas berhubung kedudukan hubungan Malaysia dengan negara lain terutamanya sekutu Israel selepas kerajaan memutuskan untuk menyekat dan tidak membenarkan syarikat perkapalan ZIM daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, susulan itu, Kementerian Pengangkutan akan mengambil tindakan segera dengan mengenakan larangan kekal terhadap syarikat itu berkuat kuasa serta-merta.

Terdahulu, Mohamad menghadiri sesi ‘clock in’ bersama timbalannya, Datuk Mohamad Alamin dan seterusnya menerima taklimat daripada kepimpinan tertinggi Wisma Putra mengenai fokus dan keutamaan Kementerian Luar Negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN