BEBERAPA kali bersua dan berbicara dengan komposer, penyanyi dan produser muzik tersohor ini, dia mudah melontarkan pandangan dan cara fikir yang sebenarnya cukup berguna untuk industri.
Walaupun mungkin ada pandangan yang sukar diterima kerana keegoan, namun hakikatnya sudut pandang pemilik nama komersial, Ajai ini harus diambil secara positif.
Jawablah mengorek dalam pandangan komposer lagu malar segar ini berhubung kelestarian industri muzik tanah air.
Mengapa sukar untuk kita menembusi pasaran luar? Apa kurangnya lagu-lagu tempatan?
Adakah lirik, melodi atau penyanyi itu sendiri yang belum cukup kuat untuk membawa layar bahtera muzik kita merentasi lautan seni Nusantara? Ajai, Jawablah!
Ajai, benarkah penyanyi sudah tidak ada ‘kemanisan’ dalam nyanyian? Apa perbezaan nyanyian penyanyi terdahulu sehingga ada yang beranggapan, kemerduan dan kemanisan dalam nyanyian itu tidak ada?
Kemanisan itu terjadi apabila produser lagu bijak mencari kekuatan. Orang dulu buat kerja, detail. Kebanyakan lagu semua laris dan malar segar. Allahyarham Adam Ahmad, Allahyarham Adnan Abu Hassan dan Fauzi Marzuki sebagai contoh, hebat-hebat belaka. Saya berkesempatan berada dalam era itu. Produser, komposer dan penulis lirik adalah elemen penting dalam penciptaan sesebuah lagu untuk penyanyi. Kalau kita imbas kembali lirik lagu lama, sedap bunga dan maksudnya.
Adakah itu antara sebab lagu baharu sekarang sukar kekal lama dalam hati pendengar? Popular hanya sementara, selepas itu akan ada lagu lain mengambil tempat. Ramai one hit wonder.
Sekarang era kemelayuan itu sudah tidak ada. Ramai komposer yang tertakluk kepada sekumpulan melodi, lirik dan cara penyampaian sama. Sebab itu, pentingnya tugas produser, dia perlu pandai keluarkan kekuatan penyanyi itu. Sekarang perkataan hipster dan lirik lagu berulang menjadi cara serta pilihan komposer. Memang ringkas tetapi persoalannya, adakah sampai di hati? Berbeza bukan dengan lirik Datuk Habsah Hassan dan Allahyarham Loloq?
Satu lagi persoalan, mengapa lagu tempatan sukar tembusi pasaran Indonesia? Padahal lagu-lagu negara sana begitu mudah diterima? Tahun akhir kita mendunia di sana, mungkin era Datuk Siti Nurhaliza.
Jawapannya adalah lagu. Kenapa lagu mereka boleh sampai sini? Mereka fokus satu bahasa. Kita ini banyak kelompok. Cara mereka itu pergi kepada penyampaian yang profesional. Kita tidak boleh salahkan pendengar. Sebab itu bagi saya, kita tidak ada ramai komposer yang ada ilmu muzik. Semakin berkurangan. Tidak semua. Ada yang gifted, namun ilmu muzik itu penting. Sebab itu saya cakap, produser, komposer dan penulis lirik perlu satu hati. Penyanyi juga perlu ada ilmu muzik. Jangan berhenti belajar walaupun sudah ada deretan anugerah. Ilmu itu tidak akan habis.
Adakah itu juga sebab lagu-lagu lama masih menjadi pilihan pendengar? Iya lagu baharu mudah diterima tetapi jangka hayatnya singkat. Tidak kisahlah sudah menang anugerah sekali pun, setahun belum tentu bertahan ‘panasnya’.
Sebab itu saya mahu tanya, di mana peminat dan pengikut anda yang beratus ribu serta berjuta-juta itu? Saya tak cakap semua. Ada penyanyi yang tahu tentang muzik dan kepentingan ilmu itu. Ada penyanyi bijak yang bekerja dengan produser yang bagus dan faham tentang muzik. Tetapi betullah, kenapa orang masih minta lagu lama? Itu terpulang kepada kehendak penyanyi itu sendiri, mereka ada hak kembangkan muzik dengan cara sendiri.
Adakah penyanyi muda sekarang juga tidak ada identiti atau masih mencari-cari hala tuju?
Kita bukan tidak ada penyanyi baharu yang bagus. Ada yang memang berbakat dalam menyanyi tetapi sentuhan produser itu yang kurang. Tanpa lagu siapa Siti Nurhaliza? Tanpa lagu siapa Allahyarham Siti Sarah? Dayang Nurfaizah? Penyanyi sekarang lebih menggemarkan populariti. Tidak salah, tetapi kepentingan utama adalah pelayaran seni muzik mereka. Mengumpul pengikut itu juga penting di era media sosial, tetapi muzik itu tidak harus diletak di tempat kedua.