Sebagai orang lama, saya tahu bagaimana pengakhiran pelakon yang diva - Aziz M Osman - Utusan Malaysia

Sebagai orang lama, saya tahu bagaimana pengakhiran pelakon yang diva – Aziz M Osman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengarah dan pelakon, Aziz M Osman, mendedahkan pernah berhadapan dengan pelakon yang mempunyai perangai diva atau berlagak sehingga bertindak meninggalkan set semasa penggambaran dijalankan.

Namun sebagai orang yang sudah lama berkecimpung dalam bidang seni, Aziz, 61, kekal tenang kerana telah melihat ramai pelakon yang tidak bertahan lama kerana mempunyai sikap sebegini.

“Saya pernah berhadapan dengan pelakon yang mempunyai sikap diva atau narsisitik. Bila kami, pelakon veteran melihat perangainya itu, kami senyum kerana sudah tahu bagaimana pengakhiran pelakon itu nanti.

“Hidup ini bagai roda. Kitaran yang sama itu sudahpun dilalui banyak orang. Pelakon itu mungkin menyombong hari ini. Namun suatu hari percayalah, dia juga akan berada di bawah. Oleh itu, hidup jangan menyombong,” katanya.

Aziz ditemui Utusan Malaysia semasa majlis tayangan perdana dan sidang media filem Dalang baru-baru ini.

Sekadar berkongsi pengalaman, Aziz berharap ceritanya dapat dijadikan pengajaran khususnya buat pendatang baharu agar sentiasa menjaga kelakukan semasa penggambaran.

“Apa yang sudah berlalu, kita anggap sahajalah ia sudah berlalu. Sekarang, pelakon itu pun sudah okay,” tambahnya.

Menurut Aziz, para pelakon adalah pemerhati. Oleh itu, mereka akan memerhatikan keadaan mahupun orang sekeliling dan menggunakan personaliti itu ke dalam watak yang akan dibawanya.

“Pengalaman berhadapan dengan orang narsisitik itu saya gunakan untuk membawakan watak saya di dalam filem Dalang. Dalam hasil kerja saya, semuanya bercerita tentang kehidupan membuatkan kerja saya mempunyai kelainan.

“Saya ambil sikap dan personaliti orang yang saya perhatikan dan memasukkannya di dalam lakonan saya,” katanya.

Aziz memegang watak sebagai Ikhlas menerusi filem terbaharunya, Dalang di bawah arahan Nik Amir Mustapha.

Turut sama menjayakan filem bergenre jenayah dan misteri ini ialah Luqman Hafidz, Liyana Jasmay, Wan Raja, Nesa Idrus, Arash Mohamad, Imuda, Idan Aedan, Megat Adli, Abi Madyan, Yuyun Hikmah, dan Fadhli Masoot.

Dalang ditayangkan menerusi platform penstriman, Tonton bermula 20 Disember lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya