'Saya tak pernah claim diri pengacara nombor satu' - Utusan Malaysia

‘Saya tak pernah claim diri pengacara nombor satu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DATUK Aznil Nawawi nama cukup besar dalam dunia seni tempatan. Terlalu banyak pencapaian dan sumbangan beliau curahkan sepanjang lebih 30 tahun penglibatan dalam industri seni tanah air.

Nama Aznil kekal relevan sehingga hari ini. Nama dan penjenamaan yang disegani menghadirkan pelbagai rezeki bukan sahaja dalam bidang seni, malah dalam bidang-bidang yang lain.

Bintang yang mesra disapa sebagai Pak Nil ini sendiri pun tidak pernah menyangka setinggi itu penghargaan masyarakat terhadap beliau. Hari ini, Aznil bukan sahaja seorang ikon, malah duta pelbagai jenama yang cukup dihormati.

“Saya jarang dilantik menjadi duta pada usia muda. Bukanlah tak ada yang berminat, cuma saya tak boleh nak berikan komitmen. Pada masa yang sama, ketidaksesuaian produk dan tawaran bayaran murah juga menjadi sebab mengapa saya dahulu menolak menjadi duta.

“Tambahan pula saya pikul tanggungjawab berat kerana membawa nama yang cukup besar. Saya tak mahu imej saya tercalar hanya disebabkan menerima tawaran hanya kerana bayaran lumayan sahaja.

“Disebabkan itu saya cukup teliti dan setakat ini hanya menerima tawaran sebagai duta Eskayvie kerana saya yakin dengan keselamatan dan keberkesanan produk yang dikeluarkan,” katanya yang juga baru dilantik sebagai duta Bertam Resort Penang.

Hari Ulang tahun ke-61 pada 6 November lalu menjadi sambutan lebih bermakna buat Aznil apabila beliau turut dilantik menjadi Profesor Adjung di Universiti Malaya (UM) dalam bidang Komunikasi Perniagaan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi.

“Saya tidak pernah terfikir seorang wartawan dan pengacara dapat menjadi ahli akademik di sebuah universiti ulung negara. Ini satu rezeki yang datang ketika usia saya menginjak 61 tahun.

“Saya kumpulkan pengalaman lebih 30 tahun, bentukkan dalam sebuah silibus dan ajarkan kepada siswa dan siswi tentang kepentingan komunikasi serta pembentukan imej dalam bidang berkenaan.

“Penglibatan ini petanda bahawa belum masa untuk saya bersara. Selagi Allah pinjamkan kesihatan dan ketajaman fikiran, saya mahu terus bekerja dan melakukan perkara yang saya suka,” jelasnya.

JATUH BANGUN

Pencapaian diraih Aznil hari ini adalah ‘bayaran’ atas susah payah yang dilaluinya sepanjang lebih tiga dekad menjadi anak seni.

Aznil berkongsi fasa hidup paling mencabar yang mengajarnya erti kesabaran dan mendesaknya menjadi insan yang tabah.

“Kejatuhan paling menyakitkan adalah disaat ekonomi dunia berdepan kemerosotan pada tahun 1988. Hidup ketika itu sukar dan mencabar, dengan saya hilang pekerjaan apabila stesen televisyen (TV) memberhentikan semua rancangan dan hanya mengulang tayang rancangan-rancangan lama.

“Tambah mencabar lagi apabila ketika itu saya sudah pun mendirikan rumah tangga, tidak bekerja, terikat dengan komitmen dan bergantung hidup kepada duit simpanan semata-mata.

“Keadaan waktu itu terlalu mencabar dengan wang simpanan lama kelamaan berkurangan. Fasa itu cukup memanusiakan dan menjadikan saya tabah,” kongsinya.

Pengacara nombor satu ini juga berkongsi fasa ‘kejatuhan’, sekitar awal tahun 2000 apabila kehadirannya dalam dunia pengacaraan semakin menyuram.

“Waktu itu saya menyimpan ego yang tinggi, merasakan imej bermulut lepas sebagai strategi pengacaraan yang relevan dan menghiburkan.

“Telahan saya silap. Kedegilan itu memakan diri, semakin lama, semakin ramai yang tak suka saya keluar TV. Tawaran juga semakin jarang saya terima, membuatkan saya terdesak dan terpaksa mengacarakan apa sahaja program asalkan mendatangkan pendapatan,” katanya lagi.

AKADEMI FANTASIA

Rancangan realiti tersebut ibarat peluang kedua, kerjaya Aznil juga bagaimana mati hidup semula. Beliau mengakui, Akademi Fantasia menyelamatkan kariernya pada ketika itu.

“Alhamdulillah, Allah bagi saya peluang kedua untuk bangkit. Tidak ramai yang menjangkakan program itu bakal besar dan melonjak semula nama saya yang ketika itu diambang kesuraman.

“Saya refleksi diri, belajar fahami apa yang penonton mahukan pada ketika itu.

“Saya juga belajar menjadi matang, dari segi kerjaya sebagai pengacara dan juga seorang manusia,” kongsinya.

PENGACARA NOMBOR SATU

Berdasarkan pencapaian, Aznil kekal memegang gelaran itu. Meskipun agak ralat, dia berterima kasih kepada masyarakat yang mengiktiraf.

Jauh sekali mendongak ke langit, pengacara ini sedar gelaran sedemikian hanyalah pinjaman. Ia mampu bertukar tangan. Justeru, tidak pernah sekalipun beliau mengakui diri nombor satu.

“Ia satu gelaran yang diberikan seorang wartawan, dan akhirnya melekat dengan nama saya. Saya tidak pernah terfikir, selain ada penyanyi nombor satu, ada juga
pengacara nombor satu. Alhamdulillah, saya lega kerana gelaran itu diberikan atas pencapaian, bukan atas dasar bodek atau kroni.

“Pengiktirafan sebesar itu menghadirkan rasa tidak senang orang terhadap saya. Saya, berkali-kali tegaskan, tidak pernah mengiktiraf diri sendiri sebagai nombor satu. Ia gelaran diberikan orang ramai, yang saya tahu datang dan pergi,” jelasnya.

Jelas Aznil, gelaran berkenaan datang dengan tanggungjawab yang besar. Katanya, bukan mudah dipandang sebagai pengacara nombor satu kerana terlalu banyak cabarannya.

“Kerana gelaran itu, saya kena buktikan selayaknya. Cipta pelbagai rekod dan pencapaian, kerja lebih keras. Hasilnya, 10 tahun saya diangurahkan Pengacara Paling Popular, dan tiga kali menang di peringkat Asia.

“Pengiktirafan ini adalah satu pencapaian yang saya gariskan. Sesiapa pun kena atas supaya mereka juga dapat mencapai sesuatu lebih naik, sekali gus diiktiraf nombor satu,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya