‘Saya rindu kawan-kawan, cikgu’

‘Saya rindu kawan-kawan, cikgu’

AZRA IZZAREEN Md. Azizuddin (kanan) dan ayahnya menerima kunjungan Mohd. Youzaimi (tiga dari kanan) di rumah sewa mereka di Taman Sri Mersing, Mersing, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: Seorang murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Sri Mersing, di sini sangat merindui rakan-rakan dan guru-gurunya kerana sudah lama tidak hadir ke sekolah akibat menderita pe­nyakit diabetes sehingga menjejaskan penglihatannya.

Ekoran penyakitnya itu, Azra Izzareen Md. Azizuddin, 11, ju­ga perlu mengambil insulin se­ba­nyak empat kali sehari.

Bapanya, Md. Azizuddin Md. Yatim, 45, berkata, anak bongsunya daripada tiga beradik itu sudah lima bulan tidak dapat hadir ke sekolah ekoran penglihatannya yang kabur.

“Pernah dia ke sekolah tetapi cikgu minta saya ambilnya pulang kerana matanya kerap berair. Dia pula memang selalu minta saya hantar ke sekolah, tetapi saya tidak izinkan kerana keadaan kesihatannya.

“Sejak disahkan menghidap diabetes, Azra Izzareen perlu dicucuk insulin sebanyak empat kali sehari di perutnya dan perlu kawal pemakanannya. Sekarang kedua-dua belah matanya kabur, terutama apabila terkena cahaya,” katanya ditemui Utusan Malaysia selepas menerima kunjungan ziarah Ketua UMNO Bahagian Mersing, Mohd. Youzaimi Yusof di rumah sewa mereka di Taman Sri Mersing, di sini.

Bapa tunggal itu mendakwa, Azra Izzareen sepatutnya menjalani rawatan pembedahan mata di sebuah hospital kerajaan namun apabila tiba harinya nama anaknya tiada dalam sistem dan mereka terpaksa pulang ke Mersing de­ngan hampa.

Dia pernah bertanya kepada pihak hospital swasta untuk proses pembedahan mata anaknya itu dan dimaklumkan menelan kos RM7,000 bagi se­belah mata.

Dia yang bekerja kebun memaklumkan menerima bantuan wang zakat setiap bulan, namun kini tidak dapat keluar bekerja kerana perlu menjaga Azra Izzareen yang perlu dipimpin untuk berjalan.

“Saya cuma berharap penglihatan Azra pulih semula agar dia dapat pergi ke sekolah dan belajar seperti rakan-rakan yang lain. Jika tidak dapat bedah kedua-dua matanya, sebelah mata sahaja sudah memadai buatnya,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga tersebut boleh menya­lurkan sumbangan ke dalam akaun Maybank Md. Azizuddin bernombor 151098000858. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya