PETALING JAYA: Emosi penyanyi kesayangan ramai, Ziana Zain terkesan mengenangkan tragedi pembunuhan Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, 6, yang siasatannya kini telah memasuki hari keenam.
Kata Ziana, sebagai seorang ibu, dia turut berduka dan tidak putus mendoakan yang baik-baik untuk arwah dan keluarganya.
“Saya hilang kata-kata. Kehilangan arwah berlaku terlalu cepat membuatkan kita tertanya-tanya apa sebenarnya motif si pelaku(pembunuh).
“Saya pegang kata-kata orang-orang tua, kalau kita pergi ke mana-mana, biarlah anak berada didepan, jangan ditinggal belakang. Apa-apa boleh berlaku, kita pun tak tahu.
“Saya doakan yang terbaik buat arwah dan keluarganya. Satu rezeki, apabila anak kecil seperti Zayn pergi lebih dahulu dari kita. Semoga asbab itu, arwah tarik ibu dan ayahnya ke syurga, Insya-Allah,” katanya.
Ziana berkata demikian pada sidang media Ziana Zain Konsert 2024 di Menara Kuala Lumpur, pagi tadi.
Bercakap tentang konsert berkenaan, Ziana memaklumkan terharu dan bersyukur atas peluang yang diberikan untuk sekali lagi menghiburkan dengan rangkaian lagu-lagu sentimental yang sedari dulu menjadi siulan peminat.
“Perasaan bercampur baur. Terharu, sebak, gembira, bersyukur, semua ada. Tak terkata-kata. Walaupun konsert ini diadakan tahun hadapan, hati saya sudah berbunga-bunga.
“Saya tak sabar nak buat persembahan, menyaksikan peminat sama-sama menyanyikan lagu-lagu saya. Ini adalah hadiah untuk mereka yang sentiasa mendoakan,” katanya.
Ziana Zain Konsert 2024 bakal dipentaskan pada 25 Julai 2024 di Mega Star Arena Kuala Lumpur.
Tiket berharga antara RM288 hingga RM1,088 boleh dibeli bermula 15 Disember 2023 menerusi www.ticket2u.com.my/zianazain.-UTUSAN