PERSONALITI TV3, Maria Tunku Sabri, 53, yang terkenal dengan rancangan Jalan-Jalan Cari Makan (JJCM) tidak asing dengan kepetahan berkata-kata.
Mengakui dirinya adalah seorang ‘kaki bebel’, ibu dua anak ini memberitahu, beliau bukan sahaja kerap berleter di rumah bahkan di pejabat.
“Tapi paling kuat membebel di rumah sebab saya ini OCD (Gangguan Obsesif Kompulsif iaitu tabiat membersih melampau). Semuanya mesti kelihatan sempurna dan bersih.
“Kalau letak barang di sesebuah tempat, jangan ubah melainkan saya sendiri yang ubah,” katanya.
Di rumah, katanya, suami, anak-anak dan pembantu rumah adalah ‘mangsa’ tetap bebelan dirinya.
Sebelum pergi kerja, katanya, beliau akan meninggalkan ‘wasiat’ kepada pembantu rumah walaupun perkara tersebut sudah menjadi rutin harian.
“Pembantu rumah memang sudah arif tugas dia, tetapi saya tetap rajin ingatkan lagi.
“Kalau suami pula, suka makan kudapan dalam bilik. Kalau makan tiada bekas pinggan memang membebel saya dibuatnya.
“Suami pula akan menjeling dan kadang-kadang suka mengusik dengan sengaja buatkan saya membebel,” katanya.
MENURUN DARI IBU
Disoal faktor suka bercakap, Maria mendedahkan sejak kecil dirinya dibesarkan dalam suasana tersebut apatah lagi ibunya merupakan kerabat diraja Kedah.
“Perangai membebel ini memang menurun daripada ibu. Sejak kecil, ibu saya sudah mengajar tertib sesuatu perkara.
“Misalnya rumah mesti bersih, makan mesti jaga adab seperti sudu dan garfu tidak boleh berbunyi, mengunyah pun sama,” kongsinya.
Sempena memasuki tahun baharu 2024, Maria yang kini bertugas sebagai Pengurus Jualan di Media Prima berkata, belum pernah terlintas untuk mengurangkan bebelan.
“Setiap tahun azam benda sama, selalu tak menjadi. Saya sudah terbiasa membebel sebab sudah jadi pakej dan memang tidak boleh dipisahkan.
“Membebel itu sudah jadi trademark (tanda dagang) Maria Tunku Sabri,” selorohnya.
TIPS KURANGKAN BEBEL
*Suami kurangkan melepak di luar
*Suami bagi peluang pada isteri ‘me time’
*Banyakkan mendengar dari bercakap
*Ajak isteri makan, ketika mengunyah tiada peluang untuk membebel
*Suami ambil alih tugas mengemas rumah dan menguruskan anak-anak