KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak dapat memasukkan peruntukan bagi menubuhkan Perbadanan Kemajuan Kelantan Utara (Utara) dalam Belanjawan 2024 sepertimana dicadangkan seorang ahli Dewan Negara semalam.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun berkata, cadangan oleh Senator Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh itu adalah idea baik dan bernas.
Sehubungan itu, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu akan menyuarakan perkara tersebut kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menubuhkan perbadanan itu pada masa akan datang.
“Ini adalah idea yang baik datang dari beliau dan ia harus didukung oleh kerajaan. Namun, oleh kerana cadangan ini dibuat selepas pengumuman belanjawan, maka, kerajaan tidak dapat memasukkannya setakat ini.
“Insya-Allah saya akan ‘berbisik’ dengan Perdana Menteri untuk meneliti cadangan bijak untuk dilaksanakan,” katanya semasa perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 bagi kementerian itu di Dewan Negara hari ini.
Semalam, Mohamad Fatmi mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan Utara bagi memastikan pembangunan secara menyeluruh dapat dinikmati oleh rakyat di negeri itu.
Katanya, pembelaan masyarakat tidak seharusnya tertumpu di kawasan selatan negeri tersebut hanya melalui Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).
Katanya, Utara bakal bertanggungjawab di daerah Machang, Bachok, Pasir Puteh, Tanah Merah, Kubang Kerian, Kota Bharu, Pengkalan Chepa dan Tumpat.
Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2022 kawasan tersebut mempunyai 1.3 juta penduduk berbanding keseluruhan rakyat Kelantan yang berjumlah 1.9 juta orang.
Sementara itu, Mohamad Fatmi dalam sidang akhbar di pusat media Parlimen hari ini mengakui penubuhan Utara akan menjejaskan bidang kuasa negeri.
“Sebab itu saya sebut dengan jelas setelah kewujudan perbadanan ini, paling penting untuk ada kerjasama dan bantuan dari kerajaan negeri.
“Banyak perkara berkait soal urusan tanah. Tidak boleh tidak, ia bidang kuasa mutlak kerajaan negeri, maka amat penting sebagaimana agensi yang ada macam Kesedar, ada wakil kerajaan negeri dalam lembaganya,” katanya.