“Denai Kreatifku” adalah buah tangan terbaharu dari Baharuddin Kahar yang menautkan pengalaman, pengamatan, pembacaan dan pergaulan dalam kehidupan di dalam menghasilkan serta memantapkan sesebuah karya kreatif.
Namanya sebenarnya, Baharuddin Buyung Kahar. Merupakan seorang novelis terkenal dalam era 1970-an hingga lewat 1980-an. Baharuddin mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Rendah Inggeris Catur Avenue, Ipoh Perak.
Beliau melanjutkan pelajaran menengahnya di Sekolah Inggeris Anderson dan lulus Malaysia Certificate of Education (MCE) pada 1965. Pelbagai pekerjaan pernah dilakukannya dan antaranya adalah buruh, peniaga, pemuzik dan juga sebagai pemberita daerah (stringer) Berita Harian pada 1973.
Pada 1974, Baharuddin menjadi guru Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Kebangsaan Tsung Wah (swasta), Kuala Kangsar, Perak. Baharuddin mengajar di sekolah itu sehingga 1984.
Baharudin Kahar menggemari muzik tetapi bakatnya lebih menyerlah dalam dunia penulisan dalam genre cerpen, novel dan puisi. Cerpen pertamanya berjudul berjudul Abah Nak Jumpa Abang tersiar di Utusan Zaman bertarikh 18 April 1971.
Cerpen Bah Urei dan Longnya Laku berjaya memenangi Hadiah Cerpen ESSO-GAPENA 1976 dan 1981. Bagi Hadiah Sastera Malaysia (HSM), cerpen-cerpennya yang berjaya merangkul hadiah adalah Capa Rengat bagi HSM tahun 1976/1977; cerpen Sempana Ganja Iras menerima HSM 1982/1983 dan Kumpulan Cerpen Terima Kasih Tuhanku terpilih memenangi HSM tahun 1984/1985.
Novel pertamanya Senjakala yang dihasilkan pada 1986 terpilih sebagai buku teks sastera peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Novel ini melayakkannya memenangi ‘Zamalah Sastera’ dan merupakan penerima kedua anugerah ini selepas Sasterawan Negara, Usman Awang pada 1985.
Novel ini ditulis hanya menggunakan tulisan tangan dari pagi hingga ke malam dan dibantu rakannya untuk menaip naskhah tersebut menggunakan mesin taip.
Memadailah kita mengetahui serba sedikit tentang penulis ini sebelum saya menemukan buku terbaharu yang berjudul Denai Kreatifku.
Baharuddin berkecimpung di dalam bidang penulisan hampir 45 tahun. Beliau mengupas satu persatu cerpen-cerpen yang dihasilkannya itu sebagai hints kepada penulis lain bagaimana menghasilkan cerpen yang mampu meraih kemenangan.
Dalam mencipta idea bagi menghasilkan Capa Rengat menceritakan tentang budak kota yang pulang ke kampung bersama ibunya. Budak kota ini tentunya berasa kekok yang dirasakan sebelum ini. Cerpen ini turut diadaptasikan oleh RTM menjadi drama TV.
Cerpen ini dihantar ke majalah Dewan Sastera dan disiarkan pada Oktober 1976. Cerpen ini membawa tuah kepadanya apabila dipilih menerima Hadiah Sastera Malaysia 1976/1977.
Sementara cerpen Bah Urei menceritakan tentang anak Orang Asli bernama Ngah yang terkilan kerana senjata sumpitan yang terkenal dalam kalangan Orang Asli yang tidak digunakan lagi bagi kegunaan memburu.
Senjata tersebut sekadar dijadikan perhiasan di rumah-rumah Orang Asli. Ngah juga menitipkan kemelut seorang tua yang bernama Anjang di mana rumahnya diroboh untuk pembinaan jalan raya. Anjang juga berasa terkilan kubur isterinya yang terletak di bawah pohon keledang juga dipugar.
Cerpen ini merupakan karya yang menang dalam sayembara cerpen tajaan Esso-GAPENA 1983.
Saya melihat dua cerpen di atas, ilham Baharuddin timbul apabila ada peristiwa yang terkesan di dalam sanubarinya.
Proses kreatif bagi cerpen Mereka Yang Terpisah pula menyingkap tentang pertembungan ideologi politik.
Baharuddin menyorot keadaan dan suasana sebelum Perang Dunia Kedua. Ada dua blok yang dominan pada waktu itu.
Blok demokrasi berpaksikan kepada British dan Amerika Syarikat. Blok komunis pula diterajui Rusia dan China. Pihak British telah membantu demokrasi menang dan Tanah Melayu diberikan kemerdekaan oleh British.
Pihak komunis dan pejuang-pejuangnya telah melarikan diri ke dalam hutan dan meneruskan perjuangannya secara perang gerila.Cerpen Mereka Yang Terpisah ini diterbitkan Mingguan Malaysia bertarikh 19 November 1972.
Cerpen yang seterusnya adalah Kelah Sisik Merah yang tersiar dalam majalah Dewan Bahasa bertarikh Jun 1977. Baharuddin mendapat ilham menulis cerpen ini hasil daripada perenungan, pemahaman dan kenang-kenangan terhadap ayahnya sebagai nelayan ikan air tawar yang agak cekap dan handal juga.
Baharuddin juga menghasilkan cerpen Sudah Besar yang tersiar dalam Dewan Masyarakat, Julai 1979. Cerpen ini mengisahkan Lop yang ke bandar bersama teman perempuannya menonton wayang gambar di sebuah panggung. Lop dan teman perempuannya telah diganggu oleh ketua samseng dan berlaku perbalahan.
Bagi menyelamatkan diri dan teman perempuannya itu, Lop menggunakan sumpitan pendek dengan getah Ipoh yang menyebabkan ketua samseng itu jatuh pengsan.
Baharuddin mengambil sikap memurnikan setiap cerpennya beberapa hari sebelum menghantarkannya ke pihak penerbitan.
Setelah usai membaca karya Denai Kreatifku setebal 75 halaman ini, saya melihat pengalaman dan pengamatan sesuatu isu yang berlaku pada zamannya dijadikan sumber penting bagi Baharuddin Kahar menggarap sesebuah cerpen yang berkesan di hati pembacanya.
Tulisannya ini merupakan perkongsian kepada penulis-penulis di tanah air, terutamanya penulis pemula bagi menggarap sesebuah cerpen. Ia boleh dijadikan petua yang berguna bagi ‘memancing’ editor akhbar atau majalah dalam menghasilkan sesebuah karya sayembara diberikan perhatian yang sewajarnya.
Baharuddin Kahar telah dinobatkan Sasterawan Negeri Perak selepas menerima Anugerah Utama Hadiah Sastera Darul Ridzuan Ke-7.