SHAH ALAM: Lagu Santai dinobatkan sebagai Lagu Terbaik dan Lagu Pilihan Alha Alfa pada hari ketiga Separuh Akhir Muzik-Muzik 38 (SFMM38) yang berlangsung di Studio 1, Glenmarie, di sini, petang tadi.
Kemenangan berganda itu melayakkan lagu ciptaan Ezra Kong dan Faizal Tahir itu membawa pulang wang berjumlah RM5,000 serta barangan eksklusif tajaan penaja utama Alha Alfa.
Naqiu yang mempersembahkan lagu itu di pentas separuh akhir mengikuti jejak langkah Aina Abdul dan Aisha Retno yang masing-masing mengungguli kategori sama pada SFMM38 pusingan pertama dan kedua yang berlangsung Jumaat dan semalam.
Lagu terbaik diadili Datuk Mokhzani sebagai Ketua juri selain LY, Helen Yap, Azmeer, Cat Farish dan Datuk Wah Idris selaku juri.
Lagu lain yang turut berentap hari ini ialah Berubah (De Fam / Faizal Tahir/ Sophia Liana), Selagi Ku Ada (Khai Bahar & feat Nabila Razali/ Amylea), Bintang (Hael Husaini), Darah (Marsha Milan/ Naim Daniel/ Firdaus Rahmat).
Turut sama bersaing ialah Aku, Hati Dan Perasaan ciptaan sepenuhnya oleh Haqiem Rusli, Di Sebalik Rahsia (Haqiem Rusli/ Sharon Paul/ Fahmi Zafran), Dua Darjat
( Black Hanifah/ Nyawablack/ Amintot).
Santai turut terpilih untuk berentap di AJL 38 bersama 11 lagu yang lain. AJL38 bakal berlangsung dari Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil pada 3 Mac tahun depan.
SFMM38 dihoskan oleh Izzue Islam dan Fiza Frizzy, bersiaran secara langsung selama tiga hari, bermula Jumaat lalu.