Sanggup beli tanah demi dapatkan bantuan rumah percuma ZPP - Utusan Malaysia

Sanggup beli tanah demi dapatkan bantuan rumah percuma ZPP

AMRAN Hazali (kiri) dan Roslan Ahmad (dua dari kanan) pada Majlis Apresiasi Sukarelawan Pengemaskini Data dan Penyerahan Saguhati Jawatankuasa Kariah Negeri Pulau Pinang di Seberang Jaya, Pulau Pinanh, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Ramai individu yang tidak layak menerima bantuan daripada Zakat Pulau Pinang (ZPP) didapati masih tidak ‘segan-silu’ memohon untuk mendapatkan bantuan tersebut terutama di bawah Skim Inapan Kasih iaitu pemberian rumah percuma kepada asnaf.

Perkara itu didedahkan Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Datuk Amran Hazali yang berkata, siasatan mendapati ada dalam kalangan individu atau pemohon terbabit mempunyai wang simpanan yang banyak dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu melebihi RM300,000.

AMRAN HAZALI

Katanya, mereka akan melakukan apa sahaja bagi memastikan permohonan untuk mendapatkan bantuan rumah percuma itu diluluskan.

“Apabila kita kata kena ada tanah sendiri (iaitu syarat untuk memohon bantuan di bawah Skim Inapan Kasih), ‘dan-dan’ (tanpa berlengah) mereka boleh beli tanah.

“Beli tanah tak sampai setahun, tiba-tiba minta bantuan zakat. Jadi, pada saya, perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku.

“Justeru, ZPP terpaksa ambil keputusan untuk ketatkan syarat permohonan bantuan ini sebab kita (ZPP) ini pemegang amanah. Mereka yang benar-benar susah dan yang benar-benar tak mampu bina rumah yang selesa sahaja kita akan bagi rumah percuma kepada mereka,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Apresiasi Sukarelawan Pengemaskini Data dan Penyerahan Saguhati Jawatankuasa Kariah Negeri Pulau Pinang yang disempurnakan perasmiannya oleh Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP)n Datuk Dr. Roslan Ahmad di Seberang Jaya, di sini semalam.

Mengulas lanjut, Amran berkata, ada dalam kalangan mereka yang tidak layak menerima bantuan zakat itu marah apabila permohonan ditolak sedangkan individu yang sepatutnya layak mendapat bantuan tersebut pula tidak memohon.

“Inilah antara cabaran yang terpaksa kita hadapi. Apapun, yang penting, masyarakat juga kena bantu kita (ZPP) untuk kita pastikan bantuan zakat ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh mereka yang betul-betul layak sahaja,” ujar beliau. – UTUSAN

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya