Sang Penyu akhiri aksi Liga Super kalahkan Perak 3-0 - Utusan Malaysia

Sang Penyu akhiri aksi Liga Super kalahkan Perak 3-0

IVAN Mamut meraikan kejayaan menjaringkan gol dalam perlawanan penutup tirai Liga Super menentang Perak FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, malam ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) menamatkan kempen Liga Super dengan noktah kemenangan apabila menang 3-0 ke atas Perak pada aksi penutup tirai di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam ini.

Keputusan itu menempatkan TFC di tangga keenam daripada 14 pasukan mengumpul 40 mata hasil 11 kemenangan, tujuh keputusan seri dan lapan kekalahan sepanjang saingan liga musim ini.

TFC membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh setelah Ivan Mamut memanfaatkan kesilapan penjaga gol Perak, Farhan Abdul Majid yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya.

Pemain sayap, Engku Nur Shakir Engku Yacob kemudian menggandakan jaringan minit ke-17 menerusi tandukan berpunca hantaran Nik Sharif Haseefy Mohd. Lazim dari sebelah kanan.

Mendahului dua gol, TFC makin bernafsu memburu tambahan gol namun percubaan Sony Norde ditepis keluar penjaga gol minit ke-23 untuk kedudukan kekal sehingga rehat.

Perak keluar dari bilik persalinan dengan percubaan tepat pertama melalui Shivan Pillay Asokan (m-47) menyaksikan voli pemain gantian itu mudah dibaca penjaga gol TFC.

Seminit kemudian skuad Peteh dihidangkan peluang terbaik malangnya sepakan Nik Sharif diselamatkan penjaga gol sebelum rembatan Mamut (m-50) dari jarak dekat tinggi melepasi sasaran.

Memasuki minit ke-57, gawang Perak terselamat lagi selepas percubaan Norde melantun menggegar palang sebelum rembatan leretnya empat minit kemudian terkena tiang.

Gol ketiga TFC akhirnya menjelma minit ke-81 apabila Norhakim Hassan melepasi perangkap ofsaid sebelum menggelecek penjaga gol untuk mudah menolak masuk bola menemui sasaran.

Perlawanan berkesudahan 3-0 memihak TFC menyaksikan Perak kekal di tangga ke-11 Liga Super dengan memungut 22 mata, hanya dua mata di belakang Penang FC. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya