Sambutan Hari Batik Malaysia 2023

Sambutan Hari Batik Malaysia 2023

TIONG King Sing (tiga dari kanan) bersama pengurusan kanan Kraftangan Malaysia termasuk ‘Ainu Sham Ramli (kiri) menunjukkan antara batik yang dipamerkan sebelum melancarkan Jualan Rahmah Batik di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, kelmarin. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Batik Malaysia 2023 mencapai kejayaan apabila mendapat sokongan memberangsangkan peminat produk kraf batik di negara ini.

Sambutan yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) itu bukan sahaja ‘memikat’
warganegara tetapi dari luar negara bagi mengenali keunikan seni warisan batik itu.

Ketua Pengarahnya, ‘Ainu Sham Ramli berkata, sambutan Hari Batik Malaysia bagi tahun ini merupakan penganjuran buat kali yang ketiga dan menggunakan tema ‘Ini Batik Malaysia’ bagi menunjukkan identiti negara dalam seni kraftangan tersebut.

SEKITAR kemeriahan Jualan Rahmah Batik sempena Sambutan Hari Batik Malaysia 2023

“Sambutan ini bertujuan memartabat dan memperkasakan industri kraf batik bagi meningkatkan lagi kesedaran dan penggunaan batik Malaysia dalam kalangan rakyat sekali gus dapat
memelihara warisan negara.

“Pengisytiharan Hari Batik Malaysia memperlihatkan semangat jati diri rakyat Malaysia yang menghargai kraf warisan tempatan dan secara tidak langsung memberi limpahan
ekonomi kepada usahawan serta komuniti kraf batik sekali gus melonjakkan industri kraf Malaysia,” katanya.

Sambutan yang bermula pada 30 November sehingga 4 Disember menyajikan pengunjung dengan pelbagai aktiviti seperti jualan Kraf Batik, Jualan Rahmah Batik, Pameran Kraf, Demonstrasi Kraf Batik, Interaktif Kraf, Jom Membatik, Batik Malaysia Treasure Hunt, Zumbatik dan Persembahan Kesenian.

Mengulas lanjut, ‘Ainu Sham berkata, melihat orang ramai yang berkunjung ke sambutan tersebut membeli pelbagai jenis batik Malaysia menunjukkan masyarakat tempatan berbangga
dan menggunakan pakaian batik Malaysia sebagai gaya hidup dan kegunaan harian.

MENARIK… Antara baju batik linut yang dipamerkan sempena Sambutan Hari Batik Malaysia 2023 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.

Beliau berkata, Kraftangan Malaysia juga menggunakan peluang pada hari sambutan tersebut bagi menampilkan batik hasil kajian yang dilaksanakan pihaknya iaitu Batik Clay (tanah
liat) dan Batik Linut.

“Penggunaan tanah liat dan linut merupakan inovasi baharu Kraftangan Malaysia yang menjadi alternatif kepada bahan penghalang warna. Inovasi ini berperanan sebagai bahan
penghalang warna seperti lilin batik. Bahan yang diaplikasikan ke atas fabrik ini telah melalui dua teknik iaitu teknik terap dan teknik sutera saring (silk screen),” jelasnya.

Hari Batik Malaysia 2023 buat pertama kali juga mengadakan Jualan Rahmah Batik iaitu dengan harga di bawah RM100, pembeli dapat memperoleh pelbagai produk kraf batik iaitu dari kemeja lelaki, kain pasang, blaus, cardigan dan banyak lagi.

Pemerhatian Utusan Malaysia mendapati sebaik sahaja Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing merasmikan jualan tersebut, pengunjung berpusu-pusu supaya
dapat memilih produk kraf batik yang diinginkan.

Sehubungan itu, ‘Ainu Sham berkata, kejayaan Jualan Rahmah Batik adalah hasil daripada persetujuan dan kerjasama yang diterima pihaknya daripada usahawan-usahawan kraf batik
dengan matlamat ingin melihat lebih ramai dalam kalangan masyarakat memakai produk kraf batik.

“Kami juga bekerja rapat dengan para usahawan kraf batik yang berdaftar dengan Kraftangan Malaysia untuk memastikan mereka mengeluarkan batik dalam pelbagai variasi harga. Langkah ini supaya dapat memenuhi semua kehendak pasaran,” ujarnya.

Untuk rekod, selain daripada Kompleks Kraf Kuala Lumpur di Jalan Conlay, Hari Batik Malaysia 2023 turut disambut serentak di semua cawangan negeri dan Kompleks Kraf Langkawi, selain
diadakan di pusat beli-belah antaranya AEON Mall Manjung, Perak, KB Mall, Kelantan, One Borneo Kota Kinabalu, Sabah dan Freeport A’Famosa Outlet, Melaka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN