Sambutan ambang tahun baharu di Perlis berbentuk Islamik - Utusan Malaysia

Sambutan ambang tahun baharu di Perlis berbentuk Islamik

MOHD. SHUKRI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Program ambang tahun baharu di Perlis akan digantikan dengan sambutan berbentuk Islamik sebagai tanda solidariti ke atas rakyat Palestin susulan serangan berterusan ke atas negara berkenaan.

Terdapat beberapa pengisian telah dirancang oleh kerajaan negeri dalam majlis berkenaan yang akan berlangsung di Dewan 2020 di sini pada 31 Disember bermula pukul 6.30 petang sehingga 12 tengah malam.

Antara pengisian yang telah dirancang dalam majlis berkenaan adalah membabitkan program bicara bersempena tahun baharu, nasyid, solat Maghrib dan Isyak secara berjemaah serta beberapa lagi.

Selain itu, dua figura turut dijemput bagi membicarakan mengenai situasi semasa di Palestin terdiri daripada Pengerusi Aid4Palestine, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, kerajaan negeri melarang penganjuran acara hiburan secara berlebihan pada tahun ini sebagai tanda sokongan ke atas rakyat Palestin.

“Berikutan itu, kita memilih untuk menganjurkan majlis berbentuk Islamik pada tahun ini bagi menyambut ambang tahun baharu sebagai tanda sokongan ke atas rakyat Palestin,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai penganjuran Program Amazing Perlis New Year’s Eve 2024 Countdown Fiesta di Tasoh Lake Resot, Mohd Shukri berkata, kerajaan negeri hanya melarang penganjuran acara konsert sewaktu program berkenaan yang dilihat tidak bersesuaian.

Katanya, acara-acara lain seperti jualan, ekspo, karnival dan seumpamanya dalam program itu masih dibenarkan untuk diteruskan.

“Bagi orang bukan Islam pula, mereka boleh anjurkan program hiburan secara tertutup di rumah ibadat masing-masing dan tiada halangan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, ketika diminta mengulas mengenai situasi wabak Covid-19 di Perlis, Mohd. Shukri berkata, kerajaan negeri menyarankan agar seluruh rakyat dapat memakai pelitup muka dan menggelakkan ke kawasan yang sesak susulan peningkatan kes kebelakangan ini.

Tambahnya, rakyat negeri ini yang memasuki Thailand juga dinasihatkan agar lebih berhati-hati bagi menggelakkan penularan wabak berkenaan.

“Sentiasa jaga kebersihan dan paling utama amalkan mencuci tangan dan memakai cecair pembasmi kuman,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya