KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengambil langkah awal dalam memastikan hasrat menjadikan Sabah sebagai tapak pelancaran roket membawa satelit ke angkasa lepas dapat direalisasikan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Mohd. Arifin Mohd. Arif berkata, kerajaan negeri sedang dalam proses melakukan kajian kebolehlaksanaan bagi melihat kesesuaian pembinaan Pusat Industri Pelancaran Angkasa Lepas Antarabangsa (SLIC) di kawasan pantai timur Sabah.
Beliau berkata, kajian kebolehlaksanaan yang dilakukan oleh sebuah syarikat tempatan itu dijangka siap dalam tempoh enam bulan ini.
“Kajian kebolehlaksanaan sedang dilakukan dan ada masa berbaki beberapa bulan lagi untuk kajian itu disiapkan, mudah-mudahan berjalan dengan baik.
“Pada masa sama, kita juga sedang menubuhkan jawatan kuasa khas yang akan dipengerusikan oleh saya sendiri,” katanya semasa majlis simbolik penyerahan bantuan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS), hari ini.
Menurut Mohd. Arifin, kawasan yang dikenal pasti adalah di pantai timur Sabah dan lokasi yang tepat akan diumumkan kelak selepas kajian kebolehlaksanaan dilakukan.
Exco Pendidikan Negeri itu berkata, sekiranya projek itu berjaya dilaksanakan, ia akan membawa kesan hiliran yang baik untuk ekonomi Sabah.
Pada Februari lalu, Mohd. Arifin berkata, kerajaan negeri akan menubuhkan Perbadanan Industri Angkasa Lepas Sabah (SSIC) yang akan bekerjasama rapat dengan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) bagi menjalankan inisiatif membangunkan sektor AeroAngkasa di Sabah.
Katanya, jika projek itu terlaksana, projek itu dijangka memacu pertumbuhan antara 300 hingga 500 syarikat hiliran dalam industri aeroangkasa selain membuka lebih 90 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan 5,000 peluang pekerjaan secara keseluruhannya.
Jelas beliau, kementeriannya menandatangani surat niat dengan sebuah syarikat tempatan iaitu Sovereign Sengalang Sdn. Bhd. untuk melakukan kajian kebolehlaksanaan untuk menjadikan Sabah sebagai tapak pelancaran roket membawa satelit ke angkasa lepas.
Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang menyatakan Pahang dan Sabah termasuk dalam senarai beberapa negeri yang dicadang sebagai tapak pelancaran roket membawa satelit ke angkasa lepas.
Katanya, projek inisiatif kewangan swasta itu tidak akan melibatkan pengeluaran kos oleh Kerajaan Persekutuan yang hanya berperanan sebagai pengeluar lessen untuk operasi tapak itu sahaja.
Lih Kang berkata, pembinaan tapak pelancaran roket yang dijangka bermula tiga tahun dari sekarang. Sekiranya projek itu menjadi kenyataan, Malaysia adalah negara kesembilan di dunia yang mempunyai tapak pelancaran roket dengan pelbagai kelebihan ditawarkan termasuk bebas gempa bumi dan lokasi strategik berdekatan garisan khatulistiwa yang akan menjimatkan bahan api roket keraja jarak yang dekat untuk ke orbit bumi.-UTUSAN