TAIPING: Rumah pengasas silat seni Gayong Malaysia, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman Daeng Uda Mohd. Hashim di sini yang terbiar akan dibangunkan semula.
Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, pembinaan semula itu akan dilakukan sebaik sahaja selesai urusan dokumentasi.
Menurutnya, beliau telah berjumpa dengan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan berbincang bagi menyelesaikan urusan yang berkaitan dengan dokumentasi sebelum rumah itu dibangunkan semula.
“Setakat ini saya belum dimaklumkan anggaran kos keseluruhan bagi membina seluruh struktur kediaman serta bangunan fasiliti yang ada di sekeliling tempat ini.
“Segala kos pembiayaan bagi membangunkan seluruh struktur kediaman dan juga fasilitinya nanti bukan di bawah Pesaka.
“Setakat ini juga kita tidak melancarkan kutipan wang daripada mana-mana pihak termasuk pertubuhan silat yang ada di negara ini untuk pembiayaan kos pembangunan semula ” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melawat tapak sejarah Pusat Latihan Tertinggi Silat Seni Gayong Malaysia di Jalan Ayer Kuning di sini hari ini.
Megat Zulkarnain berkata, pembiayaan kos pembinaan semula rumah itu akan ditanggung oleh beliau secara peribadi.
Katanya, ini memandangkan tempat itu mempunyai nilai sentimental dan kenangan dengan dirinya.
“Tapak kediaman ini mempunyai kenangan dengan pengasas Pertubuhan Seni Silat Lincah, Allahyarham Tan Sri Omardin Mauju yang merupakan bapa saya yang menjalinkan hubungan baik dengan Datuk Meor.
“Atas faktor hubungan baik di antara kedua-dua Allahyarham maka saya mengambil inisiatif untuk membina semula tapak ini atas kapasiti peribadi,” katanya.
Terdahulu media melaporkan kediaman Meor Abdul Rahman di sini dalam keadaan usang kerana terbiar. – UTUSAN