Rumah mampu milik di Perlis bawah RM150,000 - Utusan Malaysia

Rumah mampu milik di Perlis bawah RM150,000

ASRUL AIMRAN ABD. JALIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Harga rumah mampu milik di Perlis adalah kurang daripada RM150,000 sekali gus memberi keutamaan kepada rakyat di negeri ini memiliki kediaman sendiri dengan harga berpatutan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, kerajaan negeri telah menyediakan Dasar Pembangunan Hartanah Negeri Perlis (DPHPs) dan ia menjadi panduan dan rujukan kepada pemaju dalam menyediakan Rumah Mampu Milik (RMM) di negeri ini.

Katanya, ia juga sebagai manifestasi jelas komitmen kerajaan negeri dalam menyediakan polisi yang memberi keutamaan kepada rakyat dalam memiliki rumah.

“Berdasarkan DPHPs tersebut, RMM di Perlis adalah berharga kurang daripada RM150,000 dengan keluasan bangunan 800- 900 kaki persegi.

“Bagi kawasan pembangunan yang berkeluasan lima ekar dan ke atas, pemaju adalah diwajibkan untuk menyediakan RMM sekurang-kurangnya 30 peratus daripada keluasan kawasan pembangunan (60 peratus).

“Manakala, untuk pembangunan yang kurang daripada lima ekar, pemaju diberi pilihan untuk membina RMM atau membayar levi wang gantian RMM pada kadar RM75,000 bagi seunit rumah yang tidak dibina,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Saad Seman (PN-Chuping) mengenai apakah hasrat kerajaan negeri dalam menyediakan rumah dengan harga mampu milik untuk rakyat
Perlis.

Sementara itu, Asrul Aimran berkata, kerajaan negeri juga komited dalam menyediakan RMM di Perlis.

Katanya, antara pengisian peserta bagi Projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) Kuala Perlis merangkumi 60 unit.

Ujarnya, selain itu, pembinaan Program Perumahan Rakyat (PPR) di Padang Besar merangkumi 75 unit.

“Projek tersebut telah diluluskan oleh pihak Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan tarikh milik tapak 15 Februari 2023. Selain itu, pembinaan Residensi Awam Perlis secara ‘Request for Proposal’ daripada pemaju swasta di cadangan tapak Tok Kuning dan Padang Besar.

“Projek ini sedang dalam proses rundingan harga dan akan dimuktamadkan pelaksanaannya dan cadangan PPR atau Program Perumahan Malaysia (PPM) Simpang Empat yang dipohon di bawah program Rancangan Malaysia Ke-12.

“Manakala, baki unit rumah kos rendah awam yang masih belum diisi adalah seperti PPR (sewaan), 28 unit, Perumahan Awam Kos Rendah (jual beli) sebanyak 14 unit. Selain itu, Penempatan Semula Nelayan (PSN) iaitu sebanyak 43 unit.

“Kekosongan ini akan ditawarkan kepada senarai menunggu yang diterima dari semasa dan semasa serta tertakluk kepada prosedur operasi standard penawaran rumah kos rendah awam,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya