Rozi tekad pastikan UMNO jadi suara pejuang hak rakyat - Utusan Malaysia

Rozi tekad pastikan UMNO jadi suara pejuang hak rakyat

ROZI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu yang baharu, Datuk Rozi Mamat bertekad mahu memastikan parti itu menjadi suara yang kuat dan berkesan dalam memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat Terengganu khususnya dalam isu-isu sosio ekonomi yang menjadi kebimbangan utama ketika ini.

Beliau mengakui cabaran yang bakal dihadapi dalam mengemudi bahtera UMNO Terengganu bukan satu tugas yang mudah, namun akan menggunakan pendekatan lebih sesuai selepas ini.

“Terengganu, dengan keunikan sosial dan budayanya, memerlukan pendekatan yang bersesuaian dan inklusif untuk merangkul semua lapisan masyarakat.

“Keutamaan saya adalah untuk memastikan UMNO Terengganu menjadi suara yang kuat dan berkesan dalam memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat Terengganu, khususnya dalam menghadapi isu-isu sosioekonomi yang menjadi kebimbangan utama mereka.

“Marilah kita bersatu padu demi masa depan UMNO dan Terengganu yang lebih gemilang,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Khamis lalu, UMNO mengumumkan pertukaran dua pengerusi badan perhubungan UMNO di dua negeri iaitu Johor dan Terengganu.

UMNO dalam satu kenyataan memaklumkan, Rozi dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu menggantikan Datuk Seri Ahmad Said dan Datuk Onn Hafiz Ghazi pula menggantikan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Johor.

Rozi yang sebelum ini menjadi Setiausaha UMNO Negeri Terengganu berkata, beliau juga berterima kasih kepada pucuk pimpinan parti yang memberi kepercayaan itu dan kepada bekas pengerusi terdahulu atas sumbangannya terhadap parti selama ini.

“Dengan penuh rasa hormat dan keinsafan, saya ingin menyampaikan ucapan terima kasih yang tidak terhingga atas kepercayaan yang diberikan oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan barisan Majlis Kerja Tertinggi UMNO kepada saya untuk mengemudi 9UMNO di Terengganu.

“Saya juga merakamkan ribuan terima kasih kepada Datuk Seri Ahmad Said atas sumbangan beliau kepada UMNO Terengganu selama ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya