PETALING JAYA: Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Rozi Mamat dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu berkuatkuasa serta merta.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemung itu menggantikan Datuk Seri Ahmad Said.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, UMNO juga melantik Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor.
“Mewakili keluarga besar UMNO juga, saya ingin mengucapkan sekalung penghargaan buat Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Ahmad Said atas segala pengorbanan, usaha dan komitmen yang tinggi dalam memimpin UMNO Johor dan UMNO Terengganu selama ini.
“Moga dapat meneruskan usaha memperkukuhkan dan memperkasakan UMNO sebagai wadah perjuangan Bangsa, Agama dan Tanah Air,” katanya menerusi satu catatan di Facebook. –UTUSAN