PETALING JAYA : Siasatan kematian kanak-kanak lelaki autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, sudah memasuki hari keenam.
Ibunya, Ismanira Abdul Manaf, 28, dilihat tidak mampu lagi menahan rindu terhadap anak lelakinya itu apabila memuat naik status di Facebook miliknya selama dua hari berturut-turut sejak semalam.
Terkini, wanita berkenaan memuat naik hantaran di laman sosial Instagram (IG) miliknya rakaman video Zayn Rayyan bersama adiknya.
“Rindunya,” luah ibu kepada kanak-kanak malang berkenaan.
Dalam pada itu, Ismanira juga memuat naik semula gambar kenangan bersama Zayn Rayyan ketika keluar bersama keluarganya pada Oktober lalu.
“Betul dengan ‘caption’ yang mommy tulis waktu ini. kenangan yang kami cipta melalui masa bersama adalah perkara yang tidak ternilai yang akan dibawa sentiasa,“ katanya.
Semalam, Ismanira membuat hantaran meluahkan tiada siapa yang mengetahui betapa besar sayangnya dia pada Zayn Rayyan.
Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang mayatnya ditemukan dengan kesan jerut di leher dalam kejadian berdekatan kediaman mereka di Apartmen Idaman, Damansara Damai dekat sini. – UTUSAN