KOTA BHARU: Rangkaian kedai kopi premium milik syarikat bumiputera, Richiamo Coffee bakal menembusi pasaran Indonesia apabila membuka cawangan di Pekan Baru, Riau.
Pengarah Urusan Kumpulan Richiamo Coffee, Muhammad Zamry Abu Samah berkata, cawangan ini merupakan lokasi terbaharu di luar negara selepas Siem Reap, Kemboja.
Menurutnya, kejayaan ini memperlihatkan produk keluaran tempatan mampu bersaing dengan syarikat rangkain kopi antarabangsa yang telah kukuh di pasaran sebelum ini.
“Insya-Allah, dengan sokongan yang diberikan oleh semua pihak termasuk warga Kumpulan Richiamo Coffee saya yakin jenama tempatan mampu bersaing di persada antarabangsa.
“Impian besar saya suatu hari nanti untuk membuka cawangan di Kota Makkah atau Madinah. Oleh itu, kami sedang berusaha agar cita-cita itu mampu direalisasikan,” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian cawangan rangkaian kedai kopi premium Richiamo Coffee yang ke-177 di Arked Mara Bachok di sini semalam.
Hadir sama, Pengarah Mara Kelantan, Fazli Rizal Ismail.
Muhammad Zamry memberitahu, jenama tempatan itu mula beroperasi pada 2015 dan kini telah melebar sayap ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Katanya, beliau optimis untuk mencapai sasaran membuka 200 cawangan menjelang akhir tahun ini.
“Pembukaan cawangan-cawangan Richiamo Coffee di seluruh negara mendapat sambutan yang menggalakkan dan sehingga kini kira-kira 10 cawangan dalam senarai menunggu untuk kelulusan atau yang masih dalam tapisan kelulusan.
“Selain Richiamo Coffee dan Richiamo Mart, Kumpulan Richiamo turut memiliki Richiamo Manufacturing dan Yayasan Dakwah Negara,” ujarnya.-UTUSAN