RGBC: 607 usahawan bimbingan RISDA capai jualan RM72.69 juta

RGBC: 607 usahawan bimbingan RISDA capai jualan RM72.69 juta

NORAINI Ahmad bersama pemenang Risda Grooming Big Challange 2023 di Cyberview Resort dekat Putrajaya, semalam. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) berjaya mengetengahkan seramai 607 usahawan yang berpotensi untuk peningkatan pemasaran perniagaan melalui inisiatif RISDA Groom Big Challenge (RGBC).

Pengerusi RISDA, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, inisiatif yang bermula sejak tahun 2018 itu mensasarkan pembangunan usahawan dalam empat aspek utama melibatkan pengembangan ilmu pengetahuan, peningkatan proses pengeluaran, jaminan kualiti produk dan pengembangan perniagaan.

“Setakat Oktober lalu, jumlah jualan usahawan bimbingan RISDA melalui RGBC adalah sebanyak RM72.69 juta melibatkan purata pendapatan berjumlah RM 16,774 seorang sebulan.

“Ketika ini, RISDA telah berjaya membentuk seramai 22,271 orang pekebun kecil terlibat melalui program usahawan dalam kategori pemilik perniagaan melalui sektor perusahaan kecil dan sederhana ini,” katanya dalam sidang media selepas majlis perasmian penutup Program RGBC Peringkat Akhir 2023 di sini semalam.

Menurut beliau, porgram RGBC pada tahun ini menerima penyertaan seramai 117 usahawan pekebun kecil dengan 26 daripada mereka yang terdiri daripada 10 peserta lelaki dan 16 peserta wanita layak ke peringkat akhir.

Jelasnya, kesemua peserta di peringkat akhir menerima geran perniagaan bernilai RM50,000 yang ditawarkan oleh RISDA dalam bentuk peralatan, mesin, baik pulih dan penyediaan tapak premis atau penyelenggaraan sistem.

Selain itu, katanya, pemenang tempat pertama RGBC turut membawa pulang wang tunai RM7,000, diikuti RM5,000 untuk tempat kedua dan RM3,000 untuk tempat ketiga berserta plak dan sijil penghargaan.

“Peserta-peserta berikut merupakan penerima bantuan di bawah program Aktiviti Ekonomi Tambahan sebelum ini melalui kategori pengeluaran produk makanan, produk bukan makanan, produk pertanian dan perkhidmatan bukan pemasaran,” ujarnya.

Program RGBC 2023 menyaksikan tempat pertama dimenangi oleh Mohd Rahmat Bahaudin dari Semenyih, Selangor, manakala tempat kedua dimenangi, Suffian Tsourie Zakaria (Kuala Kangsar, Perak) dan tempat ketiga, Imelda Bragie Anak Jimie (Kota Samarahan, Sarawak).

Menurut Mohd. Rahmat, 36, dia sama sekali tidak menyangka dipilih sebagai juara setelah perlu bersaing dengan 26 usahawan lain dalam program tersebut.

“Saya pun tidak sangka (boleh menang) daripada kesemua 26 peserta dan kemenangan ini juga adalah merupakan hasil bantuan daripada pihak RISDA sehingga kita boleh mencapai sasaran.

“Mungkin ramai yang tidak tahu, di RISDA ada bantuan untuk usahawan dari peringkat awal, jadi jangan malu-malu, boleh pergi terus ke RISDA untuk dapatkan maklumat dan mereka akan bimbing satu persatu. Apa yang penting adalah disiplin yang tinggi serta selalu berhubung dengan pegawai bertugas,” ujarnya yang menerima bantuan daripada RISDA sejak 2018 sehingga kini.

Mohd Rahmat atau lebih dikenali sebagai Chef Kecik menjalankan perniagaan makanan dengan mengeluarkan produk seperti kek dan pastri serta merupakan pemilik Chef Kecik Cafe di Eco Majestic, Semenyih dengan jumlah jualan bagi tahun 2023 mencapai hampir RM4 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN