Rezeki pancing pari 2.4 kilogram, pesara tentera bawa pulang RM25,000

Rezeki pancing pari 2.4 kilogram, pesara tentera bawa pulang RM25,000

RAZALI Mohd. Taib (kanan) menerima replika cek bernilai RM25,000 disampaikan Ab. Rauf Yusoh (tengah) di Pentas Budaya, Pantai Puteri, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang pemancing tidak menyangka ikan pari seberat 2.4 kilogram (kg) menobatkannya sebagai juara dan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM25,000 pada Pertandingan Memancing Megasurf Pantai Puteri 2023 di sini.

Razali Mohd. Taib, 55, berkata, umpan udang hidup yang digunakannya disambar ikan tidak sampai tujuh minit dia melemparkannya ke dalam air.

Pesara tentera itu berkata, dia hanya memerlukan masa dua minit sebelum dapat menaikkan ikan pari itu kira-kira pukul 9.41 pagi.

“Saya sendiri tidak sangka balingan saya sangat dekat lebih kurang 30 meter tiba-tiba terus disambar ikan. Kebiasaannya pemancing baling ke tengah lebih dari 30 meter tetapi hati saya cakap, baling dekat pun cukup kalau ada rezeki, adalah tuahnya.

“Kemenangan ini sangat mengejutkan kerana ini kali pertama saya mendapat hadiah wang tunai RM25,000. Sebelum ini ada menang empat kali tetapi hadiah wang tunai antara RM5,000 hingga RM7,000,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas sesi penyampaian hadiah disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh di Pentas Budaya, Pantai Puteri.

Menurut Razali, wang kemenangan yang diraih itu diberikan kepada anak, isteri dan dikongsi dengan 12 rakannya yang turut sama menyertai pertandingan berkenaan.

Dalam pada itu, naib juara, Mohd. Marzuki Shafie, 40, dari Bangi Selangor berkata, dia berjaya menaikkan ikan kurau seberat 1.1 kg dan menerima hadiah wang tunai RM8,000.

“Alhamdulillah rezeki saya, walaupun tidak dapat muncul juara menang tempat kedua pun sudah mencukupi, dapatlah saya wang tunai RM8,000,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya