Restoran berputar ditutup selepas sewaan tamat

Restoran berputar ditutup selepas sewaan tamat, beroperasi secara salah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tindakan pengosongan restoran berputar Menara Kuala Lumpur yang dibuat pada Khamis (21 Disember) dilakukan selepas perjanjian sewaan tamat dan pengendalinya beroperasi secara salah.

Menurut kenyataan oleh Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (MKLSB), perjanjian sewaan oleh Asian Kitchen (M) Sdn. Bhd. (AKSB) telah tamat pada 31 Disember 2022.

AKSB merupakan pengendali Atmosphere 360 dan Cafe 360.

Dua bulan sebelum kontrak itu tamat MKLSB telah memaklumkan AKSB mengenai tamat tempoh kontrak berkenaan dan perjanjian terbabit tidak akan diperbaharui.

AKSB kemudian memohon agar diberikan lanjutan sewaan dan MKLSB bersetuju serta membenarkan syarikat itu menjalankan perniagaan sehingga 30 Jun lalu.

Bagaimanapun pada  9 Jun lalu, AKSB telah memfailkan permohonan injunksi terhadap MKLSB bagi menghalangnya daripada menjalankan haknya sebagai pemilik untuk mengosongkan premis terbabit.

Permohonan tersebut telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 27 Jun lalu.

MKLSB kemudian memohon penghakiman terus terhadap AKSB selepas pengendali restoran itu masih enggan mengosongkan premis walaupun sewaan lanjutan telah tamat.

Pada 4 September lalu, mahkamah membenarkan permohonan penghakiman terus oleh MKLSB yang turut memutuskan bahawa AKSB telah beroperasi secara salah sejak 1 Julai lalu.

Mahkamah turut memerintahkan AKSB untuk menyerahkan premis kosong kepada MKLSB dan membayar sewa sebanyak dua kali ganda bermula 1 Julai sehingga premis dikosongkan dan diserahkan semula.

AKSB telah memfailkan permohonan penggantungan perintah terbabit namun ditolak oleh mahkamah pada 23 November lalu.

“MKLSB ingin menegaskan bahawa walaupun AKSB telah beroperasi secara salah sejak 1 Julai lalu namun MKLSB tidak pernah mengganggu operasi dan pengurusan Atmosphere 360 dan Cafe 360.

“Segala tindakan yang diambil berhubung isu sewaan itu telah dibuat mengikut peraturan dan undang-undang negara.

“MKLSB berasa kesal dengan insiden yang berlaku pada 21 Disember lalu yang telah menyebabkan kekecewaan dan kesusahan kepada para pengunjung,” kata kenyataan itu.

MKLSB dalam kenyataan sama turut memaklumkan restoran berputar terbabit akan dinaik taraf dan kawasan lain Menara KL masih beroperasi seperti biasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN