PETALING JAYA: Kelulusan draf resolusi menuntut gencatan senjata pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) merupakan mesej jelas tentangan masyarakat antarabangsa kepada Amerika Syarikat (AS) yang menyokong serangan Israel terhadap Palestin.
Pengasas dan Pengerusi Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra), Azril Mohd. Amin berkata, kelulusan itu juga memberi isyarat penting kepada Malaysia untuk terus bersama-sama memberikan tekanan bagi memastikan pelaksanaan resolusi tersebut secara berkesan.
“Sebagai ahli Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC 2022-2024), Malaysia perlu proaktif dan mengambil langkah segera untuk memastikan tuntutan resolusi gencatan senjata ini dipenuhi dan kehilangan nyawa orang awam yang tidak bersalah, terutamanya wanita dan kanak-kanak, dielakkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kelulusan resolusi Timur Tengah Perkara 5 – A/ES-10/L.27 perlindungan orang awam dan menegakkan kewajipan undang-undang dan kemanusiaan tersebut adalah satu isyarat bahawa krisis kemanusiaan di Gaza amatlah dahsyat.
Kata Azril, kelulusannya sekali gus menuntut gencatan senjata segera di Gaza sekali gus memberi ruang untuk kemasukan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.
“Resolusi yang bersifat tidak mengikat itu, telah dibentangkan oleh Mesir mendapat 153 undi menyokong pada Perhimpunan Agung membabitkan 193 negara anggota yang berhimpun bagi sesi khas tergempar mengenai Palestin.
“Sepuluh negara termasuk Amerika Syarikat (AS), Israel dan Austria mengundi menentang resolusi itu, manakala 23 negara termasuk United Kingdom (UK), Jerman, Itali dan Ukraine berkecuali,” katanya.
Resolusi yang dikenali sebagai ‘bersatu demi keamanan’ itu menyatakan pendirian kuat yang menuntut gencatan senjata kemanusiaan, perlindungan orang awam, pembebasan tebusan serta merta dan penghantaran bantuan kemanusiaan. – UTUSAN