Representasi: Inspektor Sheila masih tunggu dokumen lengkap

Representasi: Inspektor Sheila masih tunggu dokumen lengkap

INSPEKTOR Sheila didakwa mengugut seorang wanita berusia 69 tahun dengan niat untuk mendatangkan kegentaran kepada mangsa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pembelaan yang mewakili Inspektor Sheila masih menunggu dokumen lengkap sebelum membuat keputusan untuk memfailkan representasi bagi membatalkan pertuduhan menyebabkan kegusaran awam yang dihadapi wanita itu.

Peguam M. Manoharan berkata, pembelaan belum menyediakan representasi kerana setakat ini mereka tidak dibekalkan dokumen lengkap oleh pihak pendakwaan.

Pada sebutan kes di Mahkamah Majistret di sini hari ini, beliau berkata, pihaknya telah menerima beberapa dokumen dan bakinya akan diterima pada sebutan kes seterusnya pada 15 Januari depan.

“Kes ini remeh, namun kita masih kaji untuk failkan representasi atau tidak kerana dokumen masih tak lengkap,” katanya ketika ditemui media selepas prosiding serahan dokumen.

Majistret Illi Marisqa Khalizan kemudian menetapkan kes sebutan seterusnya pada tarikh berkenaan. Prosiding turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Zuhairi Osman.

Perbicaraan ditetapkan pada 5 Februari 2024.

Inspektor Sheila atau nama sebenarnya Sheila Sharon Steven Kumar, 35, berdepan tuduhan melakukan mudarat awam dengan memarahi, membunyikan hon kereta dengan lama dan menjerit hingga mendatangkan kegusaran kepada Nuraihan Nadzifah Ibrahim, 27.

Kesalahan didakwa dilakukan di tempat letak kereta Aras B1, di sebuah pusat beli belah dalam daerah Brickfields di sini pada jam 5.26 petang, 16 Jun lalu.

Sheila yang mempunyai ijazah dalam bidang bahasa dan linguistik daripada Universiti Malaya, didakwa mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 260 kanun sama dan boleh didenda maksimum RM400.

Pada 26 Jun lalu, Inspektor Sheila didakwa mengugut seorang wanita berusia 69 tahun dengan niat untuk mendatangkan kegentaran kepada mangsa.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa menghina kesopanan seorang anggota polis berusia 41 tahun dan menyebut pangkat dengan cara tidak wajar kepada Lans Koperal Abdul Arif Farhan Abdul Razak dengan maksud mengaibkan kehormatannya.

Sheila dituduh mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN