Rasuah: Bekas eksekutif PCSB dipenjara, denda RM123,000

Rasuah: Bekas eksekutif PCSB dipenjara, denda RM123,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang bekas eksekutif (Pembinaan) Petronas Carigali Sdn. Bhd. (PCSB) dihukum penjara sehari dan denda RM123,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menerima suapan berhubung kerja-kerja penyelenggaraan.

Hakim Rozina Ayob menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, Mohd. Amal M. Razalan, 36, menukar pengakuan tidak bersalahnya kepada bersalah hari ini.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Amal sebagai Eksekutif (Pembinaan) PCSB didakwa menerima suapan berjumlah RM21,247.04 daripada seorang pengarah syarikat melalui dua transaksi sebagai upah untuk dirinya membantu mendapatkan kerja-kerja perkhidmatan penyelenggaraan awam dan struktur untuk PCSB.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara 21 Februari dan 6 Mac 2018 di Maybank Bhd. cawangan KLCC, Jalan Ampang, di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Fadhly Mohd. Zamry memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran bukan sahaja terhadap tertuduh, tetapi juga masyarakat umum di masa akan datang.

Bagaimanapun, peguam bela tertuduh, Datuk Hasnal Rezua Merican memohon hukuman ringan dikenakan ke atas tertuduh memandangkan anak guamnya insaf selain merupakan penanggung utama keluarga.

Selepas mempertimbangkan hujah dan rayuan kedua-dua pihak, Rozina menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM10,360 atau penjara 30 hari sekiranya denda gagal dibayar bagi pertuduhan pertama.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh turut dipenjara sehari dan denda RM112,640 atau penjara 60 hari jika denda gagal dibayar. Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman penjara berjalan serentak bermula hari ini.

Selain itu, 41 lagi pertuduhan rasuah termasuk enam pengubahan wang haram yang dihadapi Mohd. Amal sebelum ini diambil sebagai ‘take into consideration’ (TIC) oleh Mahkamah mengikut peruntukan Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.

Pada 8 November lalu, Mohd. Amal dipenjara sehari dan didenda RM177,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan menerima suapan RM35,217.50 sebagai upah membantu sebuah syarikat lain bagi mendapatkan kerja-kerja penyelenggaraan struktur untuk PCSB. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN