PETALING JAYA: Perkhidmatan rangkaian rel dan bas Rapid KL akan dilanjutkan waktu operasinya sehingga 1.30 pagi bersempena sambutan ambang Tahun Baharu 2024 bagi memenuhi keperluan warga kota yang menghadiri sambutan itu sekitar pusat bandar.
Rapid KL memaklumkan, lanjutan operasi berkenaan melibatkan 12 stesen rel transit aliran ringan (LRT), transit aliran masa (MRT) dan Monorel KL, tiga Stesen Bus Rapid Transit (BRT) dan 21 laluan bas Rapid KL dan perantara MRT.
Katanya, stesen-stesen LRT, MRT, Monorel dan BRT yang dilanjutkan waktu operasi sehingga 1.30 pagi membabitkan Laluan Kelana Jaya: KLCC, Masjid Jamek dan Laluan Ampang/Sri Petaling: Masjid Jamek, Bandaraya, IOI Puchong Jaya, Maluri.
Selain itu laluan Monorel: Bukit Bintang, Laluan Kajang: Bukit Bintang, TRX, Cochrane, Maluri dan MRT Laluan Putrajaya: TRX dan BRT Laluan Sunway: Sunway Lagoon, SunMed, SunU-Monash.
“Stesen-stesen lain akan menamatkan operasi seperti biasa. Bagaimanapun penumpang masih boleh keluar dari stesen berkenaan bagi meneruskan perjalanan. Semua stesen pertukaran rel turun dilanjutkan operasi bagi membolehkan penumpang meneruskan perjalanan ke destinasi akhir,” kata Rapid KL dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, beberapa laluan bas Rapid KL yang terpilih juga akan melanjutkan waktu perkhidmatan hingga 1.30 pagi dan antaranya seperti laluan 173 Taman Jasa Utama-Lebuh Ampang, laluan 250 Stesen LRT Wangsa Maju-Lebuh Ampang dan laluan 250 Stesen LRT Wangsa Maju-Lebuh Ampang.
Dalam pada itu, Rapid KL menyarankan pengguna menggunakan kad Touch n Go bagi menikmati perjalanan yang lebih lancar dan mengelakkan kesesakan ketika masuk dan keluar stesen atau ketika menaiki bas.
“Bagi pengguna token, anda digalakkan untuk membeli token pergi dan balik sebelum keluar dari stesen,” katanya.
Selain itu, Rapid KL akan menambah bilangan anggota dan kakitangan operasi bagi menyokong keperluan operasi dan membantu melancarkan perjalanan penumpang dan demi keselesaan pengguna, kekerapan tren bagi semua perkhidmatan LRT, MRT dan Monorel akan ditambah bermula pukul 1.00 petang pada hari tersebut sehingga tamat waktu operasi.
“Rapid KL menyarankan warga ibu kota untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam pada hari tersebut bagi mengelak dari terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas terutamanya berdekatan kawasan-kawasan yang akan menganjurkan acara sempena tahun baru,” katanya.
Sebarang makluman lanjut orang ramai boleh mengikuti Twitter dan Facebook MyRapidKl atau melayari web: www.myrapid.com.my. – UTUSAN