Ramasamy sudah bayar ganti rugi RM1.52 juta

Ramasamy sudah bayar ganti rugi RM1.52 juta kepada Zakir Naik

P. RAMASAMY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr. P. Ramasamy membayar RM1.52 juta kepada penceramah, Dr. Zakir Naik kerana memfitnah penceramah dari India itu, empat tahun lalu.

Menurut peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Zakir, wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun pelanggan firma guaman yang mewakili penceramah itu pada 17 November lalu dan akan disimpan di akaun terbabit sementara menunggu keputusan rayuan Ramasamy.

Tambah peguam itu, wang tersebut hanya akan diserahkan kepada anak guamnya sekiranya rayuan terbabit tidak berpihak kepada Ramasamy.

Perkara itu dimaklumkan peguam terbabit pada prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Hayatul Akmal Abdul Aziz. 

Wang ganti rugi tersebut diperoleh Ramasamy melalui sumbangan orang awam. 

Sementara itu, Zakir dalam satu kenyataan memaklumkan, wang tersebut akan didermakan kepada Palestin.

Mahkamah hari ini sepatutnya mendengar permohonan Ramasamy untuk menangguhkan perintah mahkamah yang mengarahkannya membuat permohonan maaf kepada Zakir.

Namun, peguam Razlan Hadri yang mewakili Ramasamy memaklumkan pihaknya menarik balik permohonan tersebut selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan.

“Kedua-dua pihak juga bersetuju bahawa penarikan balik itu dibuat tanpa perintah berhubung kos,” kata Razlan. 

Pada 2 November lalu, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan Ramasamy untuk membayar RM1.52 juta kerana memfitnah Zakir melalui empat kenyataan berunsur fitnah yang dikeluarkan oleh ahli politik itu pada 10 April 2016, 1 Oktober 2017, 11 Ogos 2019 dan 20 Ogos 2019 menerusi beberapa platform termasuk Facebook.

Ramasamy juga memfitnah Zakir melalui komennya yang disiarkan dalam The Malaysian Insight pada 8 November 2019.

Ganti rugi itu termasuk RM1 juta bagi ganti rugi am, RM100,000 untuk pampasan, RM100,000 untuk ganti rugi teruk, dan RM250,000 untuk ganti rugi teladan.

Hakim juga memerintahkan defendan (Ramasamy) membayar ganti rugi itu kepada plaintif (Zakir) dalam tempoh 30 hari.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya