Ramasamy saman fitnah Zakir Naik

Ramasamy saman fitnah Zakir Naik

P. RAMASAMY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua minggu selepas membayar ganti rugi sebanyak RM1.52 juta kepada Dr. Zakir Naik, bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr. P. Ramasamy memfailkan saman fitnah terhadap penceramah bebas terbabit.

Saman tersebut difailkan pada 3 Disember lalu di Mahkamah Tinggi di sini melalui firma guaman, Tetuan SS Thind.

Peguam Dr. Shamsher Singh Thind ketika dihubungi media memaklumkan, mahkamah menetapkan pengurusan kes saman itu pada 19 Februari depan.

“Mahkamah turut mengarahkan defendan memfailkan pembelaan sebelum atau pada 16 Januari ini. Plaintif perlu menjawab pembelaan itu sebelum atau pada 9 Februari 2024,” kata Dr. Shamser.

Prosiding pengurusan kes tersebut dijalankan secara dalam talian di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nur Shasha Hidayah Nor Azahar dan turut dihadiri peguam, Meor Hafiz Salehan mewakili Zakir.

Menurut sesalinan dokumen yang diperoleh media, Ramasamy dalam penyataan tuntutannya menyatakan bahawa Zakir atau nama penuhnya, Zakir Abdul Karim Naik mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah pada satu ceramah di Sokoto, Nigeria, 2 November lalu.

Penceramah tersebut yang dinamakan sebagai defendan menyentuh mengenai kemenangan kes samannya terhadap Ramasamy dan turut mendakwanya sebagai musuh umat Islam.

Rakaman ceramah tersebut dimuat naik oleh defendan pada 4 November lalu di laman Facebook milik Zakir yang mempunyai lebih kurang 23 juta pengikut.

“Tuduhan yang dibuat oleh defendan terhadap plaintif adalah palsu, bercorak fitnah dan dibuat dengan niat jahat, yang setelah dibawa ke perhatian orang-orang munasabah, mampu membentuk makna biasa dan semulajadi bahawa plaintif ialah seorang yang rasis dan anti-Islam.

“Akibat tuduhan tersebut, plaintif menyatakan bahawa nama baik serta reputasinya telah rosak, dirinya dibenci, dijauhi, dihina, ditertawakan atau dipandang rendah oleh orang-orang munasabah dalam kalangan rakyat Malaysia dan antarabangsa, khususnya orang-orang Islam,” katanya dalam penyataan tersebut.

Tambah Ramasamy, Zakir membuat kenyataan berbaur fitnah itu tanpa asas atau provokasi daripada plaintif.

“Plaintif tidak hadir pada majlis tersebut dan tidak dapat membela atau memberi balasan terhadap tuduhan tersebut. (Defendan) disanjungi oleh umat Islam di seluruh dunia sebagai tokoh agama Islam, oleh itu tuduhan tersebut dipercayai bulat-bulat oleh masyarakat Islam terutamanya pengikut-pengikutnya sehingga plaintif mendapat kecaman dan ugutan teruk di media sosial,” kata Ramasamy.

Plaintif menghantar surat tuntutan kepada peguam defendan bagi memberi peluang kepada Zakir antara lainnya untuk menarik balik kenyataan fitnah tersebut, membuat permohonan maaf secara terbuka dan menerbitkan permohonan maaf itu di Facebook milik defendan serta membayar ganti rugi yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.

Ramasamy juga membuat laporan polis berhubung kenyataan Zakir pada 6 November lalu.

Bagaimanapun, plaintif mendakwa tiada tindakan diambil oleh pihak polis dan plaintif juga gagal memenuhi segala terma yang dinyatakan daman surat tuntutan mahupun memberikan sebarang penjelasan walaupun menerima surat tersebut pada 8 November lalu.

Oleh itu, Ramasamy menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan yang akan ditaksirkan oleh Mahkamah di samping faedah sebanyak lima peratus setahun atas jumlah ganti rugi daripada tarikh keputusan hingga bayaran penuh dibuat.

Plaintif turut memohon perintah injunksi mandatori terhadap defendan agar menarik balik tuduhan dan memadamkan rakaman video di semua laman sosial milik Zakir.

Ramasamy turut menuntut Zakir membuat permohonan maaf secara terbuka dan tanpa syarat yang akan diterbitkan di Facebook Zakir selama 30 hari dan turut menerbitkan permohonan maaf tersebut di beberapa akhbar tempatan berbahasa Malaysia, Inggeris, Cina dan Tamil.

Turut dimohon ialah perintah injunksi bagi menghalang Zakir atau mana-mana ejennya untuk menerbitkan semua kenyataan fitnah tersebut, kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pada 2 November lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Hayatul Akmal Abdul Aziz memerintahkan Ramasamy membayar ganti rugi RM1.52 juta kerana memfitnah Zakir dan juga supaya membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pendakwah itu selepas membenarkan dua saman yang dibawa oleh Zakir.

Wang ganti rugi tersebut telah dibayar Ramasamy pada 17 November lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya