PETALING JAYA: Datuk R. Ramanan mengotakan janji Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan tidak mengambil sebarang elaun atau gaji sebagai Ahli Parlimen Sungai Buloh dengan menyumbangkan setiap bulan ke rumah-rumah ibadat di sekitar kawasan Parlimennya.
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu, sejak Januari 2023, sebanyak RM332,000 disumbangkan kepada rumah-rumah ibadat setiap agama di seluruh kawasan Parlimen Sungai Buloh.
“Fokus utama sumbangan tersebut adalah untuk memberi sokongan kepada rumah ibadat untuk membantu kebajikan penduduk di sekitarnya dan mengalakkan hidup sebagai sebuah masyarakat prihatin.
“Inisiatif ini diharapkan dapat membantu mereka yang memerlukan dan membangunkan sosioekonomi setiap komuniti di Parlimen Sungai Buloh,” katanya menerusi akaun X miliknya semalam.
Ramanan yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) ketika PRU15 berjanji tidak mengambil gaji beliau sebagai Ahli Parlimen sekiranya memenangi kerusi berkenaan dengan wang berkenaan akan diberi untuk kegunaan rumah ibadat seperti masjid, kuil dan tokong.
Beliau menang kerusi Parlimen Sungai Buloh dengan meraih 50,943 undi dalam pertembungan tujuh penjuru termasuk Barisan Nasional (BN) yang mempertaruhkan Khairy Jamaluddin.
Dalam rombakan Kabinet baru-baru ini, Ramanan antara muka baharu Timbalan Menteri apabila dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.-UTUSAN