KOTA KINABALU: Kerjasama politik berasaskan kaum dan agama di Sabah bukan komponen penting yang harus diberi pertimbangan sekiranya ingin terus maju.
Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Masidi Manjun berkata, masa untuk berbalah kerana perbezaan kaum dan agama sudah berlalu.
“Jika kita melihat dan mendengar nadi rakyat, apa yang mereka nyatakan di bawah, mereka sudah muak dengan masalah dan konflik kaum.
“Kalau kita lihat kepada GRS dan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), kita dapati ia adalah gabungan dan parti yang berbilang kaum,” katanya ketika ditanya tentang kemungkinan kerjasama gabungan parti Melayu seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan GRS menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Krismas Parti Bersatu Sabah (PBS)-Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), hari ini.
Timbalan Presiden Gagasan Rakyat itu berkata, sejarah politik Sabah agak berbeza dengan politik di Semenanjung kerana soal suku kaum bukan komponen yang diberi penekanan yang begitu berat.
Menteri Kewangan Negeri itu berkata, demi kecemerlangan masa depan negeri ini, politik berasaskan perkauman dan agama harus diketepikan.
“Kita harus melihat diri kita sebagai satu bangsa sama ada kita Kadazan, Dusun, Melayu, Melanau dan sebagainya. Kita harus melihat diri kita dan sumbangan kita sebagai seorang rakyat Malaysia,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee tidak menolak kemungkinan untuk mengadakan kerjasama dengan GRS sebagai langkah menyatupadukan parti Melayu.
Beliau berkata, apa juga usaha menyatupadukan Melayu dan bumiputera adalah satu usaha yang baik untuk negara bergerak maju dari segi ekonomi. – UTUSAN