Raja Permaisuri Agong ketuai 97 penerima darjah sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor - Utusan Malaysia

Raja Permaisuri Agong ketuai 97 penerima darjah sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor

Darjah kebesaran Selangor
TUNKU Azizah Aminah Maimunah Iskandariah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mengetuai senarai penerima darjah dan bintang kebesaran serta pingat-pingat negeri sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Sultan Selangor, hari ini.

Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengurniakan Darjah Kerabat Selangor kepada Seri Paduka sempena hari keputeraan baginda yang ke-78, namun ia akan dilakukan dalam satu istiadat khas pada hari lain di Istana Alam Shah.

Sementara itu, dalam istiadat yang berlangsung hari ini, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohamad Ab. Rahman mendahului senarai penerima darjah dan bintang kebesaran serta pingat-pingat negeri apabila menerima Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Turut menerima darjah sama adalah Ketua Polis Negara, Tan Sri Razaruddin Husain serta Pengarah Urusan YTL Power International Berhad, Datuk Seri Yeoh Seok Hong.

Seterusnya, dalam istiadat sama juga, seramai 24 orang menerima darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Haris Kasim serta Perunding Urologis Pusat Perubatan Subang Jaya, Prof. Datuk Dr. Tan Hui Ming yang dianugerahkan Darjah Kebesaran Dato’ Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (SSIS).

Selain itu, Sultan Sharafuddin turut berkenan menganugerahkan Darjah Kebesaran – Dato’ Paduka Mahkota Selangor (DPMS) kepada sembilan orang, antaranya adalah Pegawai Kewangan Selangor, Datuk Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin; Duta Besar Malaysia ke Jerman, Datuk Dr. Adina Kamarudin dan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.

Turut menerima anugerah tersebut ialah Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Collin Lawrence Sequerah; Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia, Datuk Dr. Nooh Gadot.

Baginda juga berkenan mengurniakan darjah tersebut kepada tiga ahli korporat iaitu, Timbalan Pengerusi Berjaya Land Berhad, Datuk Seri Robin Tan Yeong Ching; Naib Presiden dan Ketua Pengarah Eksekutif United Plantations Berhad, Datuk Carl Bek-Nielsen serta Pengurus Besar Royal Selangor International Sdn Bhd, Datuk Yong Yoon Li.

Ahli politik

Darjah tersebut turut dikurniakan kepada Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim yang merupakan satu-satunya ahli politik menerima anugerah dalam istiadat yang berlangsung di Balairong Seri, hari ini.

Bagi anugerah Darjah Kebesaran Dato’ – Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) yang membawa gelaran sama, mendahului senarai adalah Panglima Markas 10 Briged PARA, Mejar Jeneral Datuk Khairul Azmizal Ahmad diikuti dengan Ketua Staf Markas Angkatan Bersama, Mejar Jeneral Datuk Fazal Abdul Rahman.

Sultan Selangor juga menganugerahkan darjah sama kepada Panglima Wilayah Laut Markas Tentera Laut 2, Laksamana Muda Datuk Khir Junaidi Idris; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya, Datuk Mohd. Fauzi Mohd. Yatim; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Datuk Noraini Roslan dan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Selangor, Datuk Dr. Yusri Zakariah.

Tiga lagi penjawat awam menerima darjah itu, iaitu Timbalan Mufti Selangor, Prof. Madya Datuk Dr. Miszairi Sitiris; Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Datuk Hakimah Mohd. Yusoff.

Sementara penerima yang terdiri daripada ahli korporat ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ekuiti Nasional Berhad, Datuk Syed Yasir Arafat Syed Abd. Kadir; Pengarah Kanan Bebas Bukan Eksekutif SP Setia Berhad, Datuk Philip Tan Puay Koon; Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif, Datuk Rizal Rickman Ramli dan Ketua Pegawai Kandungan Star Media Group Berhad, Datuk Esther Ng Sek Yee.

Darjah tanpa gelaran

Sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor itu juga, Sultan Sharafuddin turut berkenan menganugerahkan Darjah Kebesaran Setia Mahkota Selangor (SMS) kepada 15 penerima antaranya Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Wan Md. Razali Wan Ismail dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS), Mohd. Hasry Nor Mohd.

Selain itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail; Pegawai Daerah Hulu Selangor, Mohamad Hanafie Basri dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah, Arab Saudi, Roslan Sharif turut menerima darjah tersebut.

Bagi Darjah Kebesaran Setia Sultan Sharafuddin Idris Shah (SIS), mengetuai senarai 13 penerima adalah Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim.

Sementara penerima Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (AMS) antaranya, Ketua Jabatan Operasi, KD Pelandok, Komander Mohd. Zulkiflee Markam; Hakim Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor, Mohd. Nurulazhar Mohd. Tohar; Pegawai Tadbir Majlis Perbandaran Kajang, Shariman Mohd. Nor dan Pengarang Kumpulan Media Selangor Sdn Bhd, Wan Muhammad Paris Wan Omar.

Seramai 16 orang penerima Darjah Kebesaran Ahli Sultan Sharafuddin Idris Shah (AIS) antaranya, Penolong Kanan Penguasa (JBPM) Selangor, Juyana @ Azlan Musa; Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Tasik Puteri, Noriah Basid; Pegawai Penerangan MPK, Norfiza Mahfiz dan Pengurus Besar Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, Ranjit Singh Pretam Singh.

Pingat Negeri Bintang Perkhidmatan Cemerlang (BPC) pula, seramai tujuh orang penerima antaranya ialah Ketua Pegawai Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Dr. Azlina Jaapar; Guru Besar Sekolah Rendah Agama Dato’ Abu Bakar Baginda, Rafidah Toraji dan Pegawai Kastam Tinggi 1 Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Mohammad Bahrain Ahmad.

Dua penerima Bintang Kecemerlangan Sukan Selangor (BKS) iaitu, Jurulatih Gimrama Majlis Sukan Negeri Selangor, Shak Yuki dan atlet badminton Malaysia beregu wanita, Thinaah Muralitharan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya