CYBERJAYA: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Tesla Experience Centre di sini pada Ahad lalu.
Keberangkatan baginda disambut Pegawai Dasar Awam dan Pembangunan Perniagaan Malaysia dan Singapura Tesla Malaysia, Ahmad Hadri Haris dan Penasihat Tesla Malaysia, Ahmad Aiman Roslan.
Turut mengiringi baginda adalah Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Multimedia University (MMU), Prof Datuk Dr. Mazliham Mohd Su’ud serta kira-kira 60 peserta kayuhan yang terlibat sempena program ‘Kayuhan DYTM Raja Muda Perlis @ MMU’ anjuran universiti berkenaan.
Baginda yang juga Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) turut berkenan menerima taklimat daripada Ahmad Hadri dan kemudiannya merasai sendiri pengalaman menaiki kereta elektrik berkenaan bersama Ahmad Aiman yang juga merupakan alumni siswazah kejuruteraan UniMAP.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut dipersembah maklum bahawa kedua-dua model Y dan model 3 Tesla menyediakan akses kepada rangkaian Supercharger Tesla, membolehkan pengguna mengisi semula bateri dengan cepat dan mudah.
Baginda mencadangkan agar UniMAP selaku antara universiti yang mempunyai kebolehpasaran graduan yang tinggi iaitu sebanyak 97 peratus dan terkenal khususnya dalam jurusan elektrik dan elektronik (E&E) menjalinkan kerjasama dengan Tesla Malaysia dalam bidang-bidang yang boleh memanfaatkan kedua-dua belah pihak. – UTUSAN