Raikan nostalgia bersama Exists pada konsert jumaat ini - Utusan Malaysia

Raikan nostalgia bersama Exists pada konsert jumaat ini

KUALA LUMPUR, 25 OKTOBER 2023 - Kumpulan Exist pada pelancaran Konsert Exists Borneo Tour di Hard Rock Kuala Lumpur. UTUSAN/AMIN AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Saya melihat perancangan dan kesungguhan Kumpulan Exists untuk merealisasikan konsert Exists X Orkestra pada jumaat ini harus diberi pujian. Apatah lagi menerjah usia 32 tahun bukanlah usia yang singkat, malah pastinya mereka telah melalui pelbagai rintangan getir demi memastikan Exists kekal di hati peminat.

Minggu lalu saya sempat bertemu Mamat, Ezad, Ajai, Along, Musa dan Ujang sebaik sahaja mereka selesai sesi latihan bersama Kumpulan Orkestra Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di ibu kota. Pelbagai rasa dan emosi yang mereka kongsikan, namun saya percaya mereka sudah cukup bersedia untuk naik ke pentas menghiburkan peminat.

Exists ditubuhkan ketika mereka masih di bangku sekolah. Lagu-lagu mereka telah mewarnai pelbagai golongan bangsa dan usia. Tidak keterlaluan melabelkan Exists merupakan sebuah kumpulan yang bertuah apabila berjaya menakluk pasaran di negara Seberang, Indonesia.

Walau bergelumang dengan pelbagai isu kontroversi, Exists tetap bertahan dan berjaya menawan arus zaman. Karya-karya mereka masih relevan dan diperdengarkan sehingga ke hari ini, malah lebih menarik apabila beberapa pihak menjadikan lagu-lagu evergreen mereka trending di platform media sosial.

Menurut Ajai, apa yang dirancangkan pada konsert ini nanti pastinya akan direalisasikan sebaik mungkin. Bukan sekadar ingin membawa peminat menelusuri nostalgia dan sejarah mereka, tetapi lebih kepada berkongsi momen indah untuk dihayati bersama, terrutamanya kepada mereka yang membesar dengan karya-karya mereka.

“Usia perjalanan Exists sudah menjangkaui 32 tahun. Mereka yang ‘membesar’ bersama lagu-lagu kami pastinya punya kenangan tersendiri. Kami sendiri sangat teruja untuk meraikan konsert Exists X Orkestra ini kerana tidak pernah berpeluang buat persembahan seperti ini sebelumnya,”

“Exists akan tampil dengan lagu-lagu hits yang satu ketika dahulu pernah mewarnai zaman remaja kalian. Malah setiap lagu yang dipersembahkan juga akan diberi susunan baharu yang lebih menarik bersama orkestra nanti,” ujarnya.

Selain menampilkan Ezad dan Mamat sebagai vokalis pada konsert itu nanti, Exists juga bergabung dengan anggota sedia ada demi memantapkan persembahan. Walaupun terdapat sedikit kejanggalan apabila beberapa nama yang pernah bersama Exists tidak turut serta, namun Ajai punya jawapan tersendiri.

“Yang bersama di pentas ketika ini adalah anggota yang bersama-sama memperjuangkan Exists sehingga kini. Ini adalah barisan yang jatuh bangun bersama dari zaman susah dan senang. Pendek kata ini adalah rakan-rakan yang sama-sama pernah makan maggi segera,” ujarnya tertawa.

Lapan buah album adalah penanda aras yang terbaik buat Exists. Melalui populariti inilah mereka sering dihujani pelbagai tawaran persembahan di seluruh semenanjung sehingga ke Singapura dan Indonesia.

Konsert Exists X Orkestra yang bakal dilaksanakan di Megastar Arena Kuala Lumpur pada 22 Disember yang dibawakan oleh Persatuan Global Malaysia bukan Sahaja bertindak menghiburkan peminat semata, tetapi 10 peratus daripada hasil kutipan harga tiket akan disalurkan kepada pihak Persatuan Karyawan bagi membantu golongan artis yang memerlukan.

Tiket-tiket berharga bermula RM568, RM468, RM368, RM268 dan RM168 masih berbaki sedikit sahaja lagi dan boleh dibeli menerusi laman sesawang Www.MyTicket.Asia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN