Radius cari kanak-kanak dikhuatiri lemas diperluas - Utusan Malaysia

Radius cari kanak-kanak dikhuatiri lemas diperluas

ANGGOTA bomba melakukan operasi dan menyelamat mangsa lemas di Sungai Tok Hakim dekat Kampung Tok Hakim, Kuala Terengganu. petang tadi. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Radius pencarian seorang kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri lemas di Sungai Tok Hakim dekat Kampung Tok Hakim di sini, diperluas sehingga 30 meter dari lokasi terakhir mangsa dilihat.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Mohd. Khairiri Mat Resad, berkata, usaha itu dibuat bagi mencari petunjuk baharu sejak operasi diaktifkan pada pukul 5 petang tadi.

Menurut beliau, sehingga pukul 8.20 malam ini sebanyak empat sesi selaman dibuat oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) namun gagal mengesan Muhammad Harraz Ilman Mohd. Syahril Redhuan, 11.

“PPDA Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang akan membuat selaman kelima dan kita harap mangsa dapat dijumpai bagi mengelak risiko kepada pasukan menyelamat.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan diteruskan sehingga kita ada petunjuk baharu dan ketika ini fokus pada jarak 30 meter dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan lemas.

“Radius itu akan ditingkatkan selepas berbincang dengan pasukan menyelamat sambil menilai risiko di lokasi dan kita juga meneruskan pencarian di permukaan air,” katanya di sini, hari ini.

Dalam kejadian petang tadi, mangsa datang ke lokasi berkenaan untuk bermandi-manda jam 4 petang bersama adiknya, Muhammad Firas Wafiy, 9, dan seorang lagi rakan mereka.

Keseronokan tiga sekawan itu bermandi-manda bertukar tragedi apabila mangsa dikhuatiri lemas manakala dua yang lain itu terselamat dengan JBPM menerima panggilan jam 4.46 petang.

Jelas Mohd. Khairiri, seramai 46 pegawai dan anggota terdiri daripada JBPM, pasukan bomba simpanan (PBS), polis, pegawai perubatan dan Rela terlibat dalam operasi berkenaan.

Tambah beliau, kejadian ini merupakan kes pertama membabitkan mangsa yang dikhuatiri lemas sepanjang tempoh fasa Monsun Timur Laut (MTL) 2023/24 di Terengganu.

“JBPM ingin menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada dan mengawasi pergerakan anak-anak yang lebih terdedah dengan risiko lemas dalam musim banjir ketika ini.

“Kawasan kejadian ini adalah antara ‘hotspot’ banjir dan meskipun cuaca dilihat semakin baik, ia masih lagi berbahaya bagi sebarang aktiviti air termasuk untuk beriadah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya