Pulau Pinang kuat kuasa semula dasar pengasingan sisa di punca mulai Julai depan - Utusan Malaysia

Pulau Pinang kuat kuasa semula dasar pengasingan sisa di punca mulai Julai depan

H'NG Mooi Lye (tengah) diberi penerangan mengenai projek pembangunan ISWMC pada Majlis Pecah Tanah Pembinaan Depoh Pembersihan Ampang Jajar, Pejabat Operasi Jabatan Landskap MBSP serta projek berkenaan di Butterworth, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Pulau Pinang akan menguatkuasakan semula dasar pengasingan sisa di punca seperti yang pernah dilakukan kira-kira enam tahun lalu, bermula Julai tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, H’ng Mooi Lye berkata, dasar pengasingan itu pernah dikuatkuasakan selama tiga tahun antara 2017 hingga 2019, namun terhenti pada 2020 akibat penularan pandemik Covid-19.

Sehubungan itu, Mooi Lye berkata, beliau akan menghidupkan semula inisiatif itu di peringkat Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) serta dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan.

“Jadi, tempoh bermula sekarang hingga ia dikuatkuasakan semula (Julai 2024) kita akan anggap sebagai tempoh mendidik, mengimbas semula dan sebagainya.

“Dalam hal ini, peranan yang boleh dimainkan oleh Ahli Majlis serta kedua-dua PBT adalah penting iaitu untuk menguar-uarkan semula dasar ini melalui Facebook atau melalui program-program berkaitan yang kita jalankan.

“Ini penting agar orang ramai mendapat informasi mengenai perkara ini kerana saya percaya ramai yang sudah lupa,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Depoh Pembersihan Ampang Jajar, Pejabat Operasi Jabatan Landskap MBSP dan Pusat Pengurusan Sisa Pepejal Bersepadu (ISWMC) yang disempurnakan perasmiannya oleh Datuk Bandar MBSP, Datuk Azhar Arshad di sini, hari ini.

Mengulas mengenai projek tersebut khususnya pembangunan ISWMC, kata Mooi Lye, ia akan berfungsi sebagai tempat memproses sisa domestik, sisa pembinaan dan sisa perobohan (C&D) bermula 1 Februari 2025.

“Dianggarkan, dengan adanya fasiliti ini, ia akan dapat membantu memproses sehingga 1,200 tan sampah sehari dan jumlah itu dijangka mencapai kapasiti maksimum menjelang tahun 2040.

“Selain itu, kewujudan pusat ini juga secara tidak langsung dapat mengurangkan jumlah sisa domestik yang dihantar ke Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung (TPSPB) serta dapat memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan sampah tersebut,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Azhar memberitahu, ISWMC merupakan projek pertama di negara ini yang menggunakan sampah domestik sebagai bahan utama untuk menghasilkan gas metana dalam Anaerobic Digester (AD).

“Kebiasaannya sisa yang digunakan adalah sisa POME (Palm Oil Mill Effluent) iaitu sisa air yang terhasil daripada aktiviti ‘milling’ (pengilangan) di kilang kelapa sawit,” katanya.

Tambah Azhar, MBSP juga telah melantik sebuah syarikat pengurusan sisa pepejal iaitu Greenviro Solutions Sdn. Bhd.(GSSB) untuk membina serta membangunkan projek tersebut di tiga kawasan berasingan iaitu di kawasan seluas lebih lima hektar itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya