Pulau Pinang; Beberapa jalan, laluan ditutup sempena maraton Sabtu, Ahad ini - Utusan Malaysia

Pulau Pinang; Beberapa jalan, laluan ditutup sempena maraton Sabtu, Ahad ini

KHAW KOK CHIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

 

GEORGE TOWN: Beberapa jalan dan laluan di negeri ini akan ditutup serta dilencongkan sempena Larian Maraton Antarabangsa Pulau Pinang (PBIM 2023) bermula Sabtu dan Ahad ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, larian yang melibatkan jarak 42 kilometer itu akan melalui jalan-jalan di kawasan persiaran Bayan Indah; Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu dan sepanjang laluan Jambatan Pulau Pinang.

Jelas beliau, jalan-jalan yang akan ditutup dan dilencongkan melibatkan laluan di daerah Timur Laut; Barat Daya dan Seberang Perai Tengah (SPT).

Ujarnya, penutupan dan lencongan jalan-jalan yang terlibat akan dibuat secara berperingkat oleh polis bermula pukul 11 malam Sabtu sehingga pukul 10 pagi Ahad ini.

Menurutnya, bagi daerah Timur Laut, jalan yang akan ditutup ialah sepanjang Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu iaitu dari Persimpangan Jalan Sungai Pinang ke Persiaran Bayan Indah dan dari George Town menghala ke Bayan Lepas serta Jambatan Pulau Pinang.

“Bagi daerah Barat Daya pula, semua jalan yang ditutup tertumpu di kawasan Queensbay dan Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu menghala ke George Town.

“Semua kenderaan yang menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan Batu Maung akan dilencongkan ke Jalan Sultan Azlan Shah dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah,” katanya.

Tambah beliau, di kawasan SPT pula, kenderaan yang ingin ke Pulau Pinang akan dilencongkan ke Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Dalam pada itu, katanya, pengguna yang bercadang melalui jalan terlibat dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan laluan alternatif yang lain.

”Pengguna juga dinasihatkan patuh kepada arahan yang dikeluarkan oleh pihak polis dan sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas yang ditetapkan.

”Mereka yang mempunyai jadual penerbangan melalui LTAB Bayan Lepas dinasihatkan keluar awal sebelum penutupan jalan atau menggunakan jalan alternatif menuju ke lapangan terbang.

“Sila gunakan jambatan kedua untuk keluar masuk ke bahagian pulau dan Seberang Perai semasa penutupan jalan diadakan,” katanya. – UTUSAN

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya