PU Azman diperintah bela diri

Amang seksual: PU Azman diperintah bela diri

AZMAN Syah Alias ketika hadir bersama peguamnya di Mahkamah Sesyen Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan penceramah selebriti, Pencetus Ummah (PU) Azman membela diri atas dua pertuduhan amang seksual terhadap seorang remaja lelaki, tahun lalu. 

Hakim Syafeera Mohd. Said membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Azman Syah Alias, 42, di akhir kes pendakwaan.  

Syafeera dalam penghakimannya berkata,  mahkamah memberi tiga pilihan bagi peringkat prosiding pembelaan itu yang ditetapkan pada 12 Januari ini. 

“Orang Kena Tuduh (OKT) diberi pilihan sama ada memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi, keterangan tidak bersumpah dari kandang tertuduh atau berdiam diri.

“Jika memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi, kamu perlu bersedia disoal oleh pendakwa raya. Jika keterangan tidak bersumpah dari kandang tertuduh, ia tidak cukup kuat kerana tidak boleh dicabar oleh pendakwa dan tidak menyoal balas kamu. Selain itu (pilihan ketiga adalah) kamu berdiam diri,” katanya.  

Peguam Mohamad Zahid Ahmad yang mewakili Azman kemudian memilih keterangan secara bersumpah. 

“Buat masa ini, hanya panggil OKT (sebagai saksi pembelaan). Jika ada perkembangan, ia akan dimaklumkan (kepada mahkamah),” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur’ Ayuni Jamri.

Azman dituduh terlibat dalam dua kes amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun di sebuah inap desa di Sungai Udang di sini, masing-masing pukul 12.15 tengah malam dan 1 pagi pada 20 Februari serta 29 Jun tahun lalu.

Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat, sekiranya disabitkan kesalahan bagi setiap pertuduhan.

Azman yang juga dikenali sebagai Cik Man turut menghadapi sembilan lagi pertuduhan iaitu lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen Seremban, dua kes di Mahkamah Shah Alam dan masing-masing satu kes di Mahkamah Majistret Klang dan Mahkamah Sesyen Ampang. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN