KUALA TERENGGANU: Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) menyasarkan kedatangan seramai 200,000 pengunjung pada tahun 2024 melalui pelbagai program menarik yang telah dirancang pada sepanjang tempoh tersebuyt
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim berkata, pihaknya komited dapat mencapai sasaran itu memandangkan kehadiran pengunjung yang telah hampir mencapai sasaran 150,000 pada tahun ini.
Menurutnya, jumlah itu adalah peningkatan signifikan berbanding kehadiran 104,441 pengunjung yang telah direkodkan sepanjang tahun lalu.
“Alhamdulillah kita teruja dengan jumlah kehadiran pengunjung yang semakin meningkat setiap tahun hasil penganjuran pelbagai program berbentuk pelancongan (edutourism) pendidikan.
“PSKT sebagai tumpuan utama pelancongan pendidikan di Terengganu dan Pantai Timur amnya menjanjikan pengalaman menarik melalui pembelajaran sains yang interaktif terutama kepada golongan pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang acara pertandingan sempena penganjuran Festival Sains, Teknologi dan Inovasi (FeSTI) PSKT dekat Kampung Laut di sini, hari ini.
Acara yang berlangsung tiga hari bermula esok itu bertujuan membudayakan sains dalam kalangan masyarakat sekaligus memupuk minat pelajar mendalami ilmu pengetahuan dalam mata pelajaran STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik).
Antara aktiviti yang diadakan adalah Pameran Kesenian; Demonstrasi Warisan; Permainan Tradisional; Persembahan Kebudayaan, Pertandingan Memasak dan akses masuk ke 10 galeri pameran sains yang ada di PSKT.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tema yang diketengahkan pada tahun ini adalah Sains: Warisan Kesenian & Kebudayaan yang menonjolkan prinsip sains dalam kehidupan.
“FeSTI adalah antara program yang kami anjurkan untuk memperkenalkan PSKT sebagai salah satu pusat sains yang terulung di Malaysia.
“Sepanjang tiga hari ia berlangsung juga, kita memperkenalkan harga diskaun tiket masuk iaitu hanya RM15 sahaja berbanding harga asal RM23 dan RM25 untuk menarik kedatangan pengunjung, malah mereka berpeluang mendapat pelbagai hadiah cabutan bertuah termasuk motosikal Banelli Panarea 125,” katanya. – UTUSAN