PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin mengadakan pertemuan santai di pulau peranginan terkemuka dunia di Phuket, sambil membincangkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Dalam pertemuan itu, Perdana Menteri berkata, antara perkara yang dibincangkan adalah membabitkan isu penting kedua-dua negara antaranya berkaitan sektor pelancongan Malaysia – Thailand.
Katanya, Srettha menyatakan kesediaan Thailand untuk mempromosikan pelancongan di Phuket, Langkawi dan kawasan lain di utara Semenanjung Malaysia secara bersama susulan peningkatan mendadak sektor pelancongan kedua-dua negara.
“Selain itu, kami berdua turut bersetuju untuk menyegerakan Projek Jalan Sadao – Bukit Kayu Hitam serta Projek Jambatan Sungai Golok-Rantau Panjang.
“Saya dan PM (Perdana Menteri) Srettha juga sepakat untuk bersama-sama membangunkan wilayah selatan Thailand dan utara Semenanjung secara lebih pesat, sekali gus menjamin limpahan ekonomi dan kemakmuran buat rakyat di kedua-dua wilayah ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Perdana Menteri berkata, bagi memantau perkembangan projek dari semasa ke semasa satu jawatankuasa khas peringkat tertinggi membabitkan Malaysia – Thailand diberi tanggungjawab untuk melaporkannya kepada kerajaan masing-masing.
Katanya, laporan tersebut akan bermula pada pertengahan Januari tahun depan.
“Jawatankuasa khas peringkat tertinggi antara kedua-dua negara perlu melaporkan kemajuan projek dan perkara-perkara yang telah dipersetujui pada pertengahan bulan depan,” katanya.
Sementara itu, Anwar turut berkongsi bahawa beliau dan Srettha turut membincangkan isu berkaitan situasi banjir yang sedang berlaku di kedua-dua negara dan memaklumkan akan melakukan lawatan ke Kelantan bagi melihat keadaan di negeri tersebut.
“Kami juga sempat bicara terkait situasi banjir yang berlaku ketika ini dan InsyaAllah esok saya akan turun ke Kelantan bagi meninjau sendiri situasi yang semakin membimbangkan di sana. Semoga Allah segera mengangkat bencana ini,” katanya. – UTUSAN