Projek CVIA fasa pertama rekod pelaburan bernilai RM2.9 bilion - Utusan Malaysia

Projek CVIA fasa pertama rekod pelaburan bernilai RM2.9 bilion

MUHD Khair Razman Mohamed Annuar (lapan dari kiri) merakamkan gambar bersama selepas program CVIA Stakeholder’s Day: Towards Forging Growth And Prosperity di Pusat Perniagaan Bersepadu (IBC) CVIA, Padang Besar, Perlis, hari ini.-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Pelaksanaan projek pembangunan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) fasa pertama merekodkan pelaburan bernilai RM2.9 bilion dengan komitmen enam buah syarikat dari dalam dan luar negara.

Buat masa ini, beberapa fasiliti antaranya seperti jalan, elektrik, telekomunikasi dan gas telah disediakan di tapak fasa pertama projek berkenaan manakala bekalan air pula akan mula dimasukkan sekitar pertengahan tahun hadapan.

Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar berkata, fasa pertama pelaksanaan projek CVIA adalah membabitkan kawasan tanah seluas 178.0617 hektar dengan dilengkapi inftrastruktur asas bagi kemudahan para pelabur.

“Pelabur juga akan memulakan pembinaan kilang-kilang mereka selepas ini melibatkan beberapa syarikat dari dalam mahu pun juga luar negara,” katanya ketika ditemui selepas CVIA Stakeholder’s Day: Towards Forging Growth And Prosperity di Pusat Perniagaan Bersepadu (IBC) CVIA, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi dan Teknologi Hijau negeri, Megat Hashirat Hassan: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuping, Saad Seman dan ADUN Indera Kayangan, Gan Ay Ling.

Dalam pada itu, Muhd Khair berkata, keluasan keseluruhan pembangunan di CVIA adalah sekitar 998.764 hektar dan ia bakal menjadi kawasan perindustrian baharu bagi mengubah Perlis sebagai negeri industri menjelang 2030.

“CVIA dijangka akan menyumbang lebih RM2.5 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (GNI) dan bakal menarik RM4.5 bilion pelaburan swasta.

“Di samping itu, CVIA juga dilihat dapat mewujudkan lebih 12,000 peluang pekerjaan menjelang 2030,” katanya.

Mengulas mengenai program berkenaan, Muhd Khair berkata, seramai 150 pelabur berpotensi telah dibawa bersama-sama mengikut sasaran kluster ditetapkan iaitu pembaharuan tenaga, pembuatan tenaga hijau dan halal industri.

Tambahnya, program itu merupakan kerjasama antara kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dalam usaha bagi mempromosikan CVIA di samping mengukuhkan agenda negeri dalam menarik pelaburan baharu di Perlis.

“CVIA adalah berkonsepkan bagi menyokong agenda pembangunan mampan dan alam sekitar di Malaysia melalui projek yang berdaya maju dengan penggunaan teknologi sewajarnya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya