KUALA LUMPUR: Kebimbangan mengenai penyertaan Malaysia dalam Belt Road Initiative (BRI) didakwa jelas terbukti menerusi projek-projek mega seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Penganalisis Dasar Luar, Strategi dan Keselamatan universiti Malaya, Collins Chong Yew Keat berkata, projek tersebut bukan sahaja gagal mewujudkan peluang pekerjaan, malah turut meninggalkan beban hutang yang berat kepada negara.
Selain itu lebih kritikal, jelas Collins lagi, keuntungan daripada projek-projek berkenaan masih diragui dan tiada jaminan mengenai perkara tersebut yang memberi kelebihan kepada negara.
“Buat masa ini, pulangan projek mega BRI seperti ECRL dan Forest City tidak memberi pulangan yang tinggi sejajar dengan kos dan beban hutang masa depan. Keadaan menjadi lebih parah apabila projek ECRL ini hanya lebih menguntungkan China dari segi potensi geopolitiknya.
“Dalam keghairan untuk mendekati dan memikat China bagi pulangan yang mudah, kita perlu mematahkan rantaian dan meneruskan hubungan dengan Barat yang menjadi sumber jaminan keselamatan kepada negara,” katanya ketika dihubungi.
Projek ECRL sebelum ini menjanjikan 80,000 peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan dan meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri sebanyak 1.5 peratus di Pantai Timur.
Namun sehingga kini, hanya sedikit sahaja maklumat yang dikeluarkan mengenai jumlah rakyat Malaysia yang memperoleh pekerjaan dari segi pakar dan teknikal berhubung projek ECRL tersebut.
Mengulas lanjut, Collins berkata kebergantungan Malaysia terhadap negara China ini turut memberi kesan besar terhadap pencabulan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) di Laut China Selatan dimana Malaysia terpaksa mengambil pendekatan berdiam diri bagi menjaga hubungan dengan negara China.
Katanya, perkara ini sama seperti pencabulan hak asasi manusia oleh China terhadap umat Islam dan etnik minoriti lain di wilayah Xinjiang barat China.
Ia jelas diperlihat menerusi keputusan Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menolak usul untuk membahaskan berkenaan, dan Malaysia antara negara yang mengambil tindakan berkecuali dalam undian tersebut.
“Usaha ‘memikat’ China dalam hampir semua sektor mencetusi limitasi dari segi tindak balas seperti yang dapat dilihat dalam pelbagai insiden melibatkan integriti wilayah dan kedaulatan negara di Laut China Selatan serta kepentingan aset minyak dan gas negara yang menjadi sandaran tertinggi sumber pendapatan negara.
“Malaysia selama ini bersandar kepada strategi quiet diplomacy dan backdoor diplomacy dalam isu ini, namun tidak meraih pulangan yang diinginkan serta membantutkan percaturan tindak balas dalam isu Laut China Selatan serta hubungan dengan Barat,” katanya
Sebelum ini, China dilaporkan menghantar beberapa kapal tinjauan ke ZEE Malaysia, salah satu daripadanya adalah Da Yang Hao seberat 4,600 tan mengikuti kapal Malaysia pada Oktober 2021.
Beberapa bulan sebelum itu juga, beberapa gangguan turut dilakukan oleh kapal China terhadap sebuah kapal gerudi di bawah kontrak dengan Petronas iaitu West Capella.
Susulan daripada itu, bekas penyelidik kanan di Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Samirul Ariff Othman berkata, tindakan sedemikian sudah pasti merupakan ancaman terhadap negara sehingga mampu menjejaskan sumber-sumber lain.
“Insiden seperti ini menunjukkan ancaman sebenar yang dihadapi Malaysia. Sambil memegang pengaruh terhadap Malaysia sebagai rakan perdagangan, China sentiasa menguji perairan Laut China Selatan untuk melihat sejauh mana Malaysia akan bertindak balas.
Mengulas lanjut, jelas Collins lagi, antara krisis yang berlakup pada ketika ini adalah krisis hutang yang semakin melebar, krisis Country Garden, krisis demografi dengan dilema ageing society dan juga kadar penggangguran yang semakin kritikal.
Selain itu katanya lagi, ia turut berlaku pengurangan fokus dan pelaburan dari firma tertinggi Barat serta negara kritikal lain termasuk India dan Asia Tenggara dimana semuanya memberikan gambaran yang membimbangkan dengan potensi krisis di Taiwan dan Laut China Selatan yang akan merecatkan pendirian Malaysia.
“Pendirian negara selama ini berkecuali dan tidak memihak, namun ini jelas memakan diri apabila kebergantungan mendalam terhadap ekonomi China dari segi pasaran eksport komoditi utama termasuk sawit dan juga modal dana dalam pelaburan di Malaysia,” ujarnya. – UTUSAN