GEORGE TOWN: Pertubuhan Badan Pemikir Melayu Pulau Pinang (Pemikir) bersama penduduk setempat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini membantah serta mendesak Kerajaan Negeri Pulau Pinang membatalkan projek pembinaan asrama pekerja warga asing di kawasan Teluk Kumbar dekat sini.
Pengerusi Pemikir, Datuk Dr. Muhamad Farid Saad berkata, masyarakat setempat telah menyatakan bantahan mereka sejak dari mula cadangan projek itu timbul dan sehingga kini tetap teguh menolak projek tersebut.
Katanya, projek itu membabitkan tiga kawasan iaitu sekitar Bandar Baru Perda; Bagan dan Sungai Batu yang kesemuanya di Teluk Kumbar yang mana sekiranya dilaksanakan dianggarkan 35,000 pekerja warga asing akan ditempatkan di ketiga-tiga kawasan terbabit.
“Dijangka setiap lokasi akan dimuatkan lebih 10,000 pekerja asing mengikut keluasan tapak. Ini adalah satu kepadatan yang amat tinggi.
“Jumlah pekerja asing yang akan dibawa masuk untuk tinggal di kawasan ini lebih tinggi dari jumlah penduduk tempatan sedia ada,” katanya di sini hari ini.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dilaporkan telah meluluskan dua permohonan bagi pembinaan asrama pekerja di kawasan Teluk Kumbar.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, H’ng Mooi Lye berkata, berdasarkan kelulusan yang telah diperakukan di Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang, anggaran 32,680 pekerja warga asing akan ditempatkan di kawasan Teluk Kumbar.
Menurut Muhamad Farid, kelulusan projek itu akan memberi impak yang sangat negatif antaranya kesesakan lalu lintas kedua-dua hala dari Teluk Kumbar menuju ke Bayan Lepas atau sebaliknya terutama pada waktu puncak.
Selain itu, ujar beliau, kejutan budaya dengan kehadiran bangsa asing dari luar negara juga pasti menjejaskan keharmonian kehidupan masyarakat setempat.
“Pelbagai masalah sosial dan kebersihan juga akan lebih berleluasa dengan terbinanya penempatan untuk pekerja asing di kawasan tersebut,” katanya.
Tambah beliau, sekiranya kajian impak sosial yang telus dilaksanakan, sudah pasti mendapati kawasan Teluk Kumbar adalah tidak bersesuaian untuk pelaksanaan projek itu.
“Penentangan kepada kehadiran warga asing yang tidak diundang akan mengeruhkan kerukunan kehidupan masyarakat setempat.
”Kami bersetuju supaya satu kawasan dikhususkan untuk menempatkan warga asing untuk memudahkan pengawalan, namun ia harus dibina di kawasan yang berdekatan dengan tempat kerja mereka, bukannya di Teluk Kumbar atau Sungai Batu,” katanya. – UTUSAN